Agensi

DIA pernah merasai kehidupan selama sedekad sebagai gelandangan di bandar kedua terbesar Russia, St Petersburg, namun kini Vyacheslav Rasner menggunakan pengalamannya itu dengan menjadi pemandu pelancong popular.

Setiap hari Rasner, 68, menunggu di luar stesen kereta api bawah tanah Admiralteiskaya pada jam 9 pagi, 12 tengah hari dan 3 petang untuk menyambut pengunjung ke bandar itu yang mahu menggunakan perkhidmatannya membawa mereka di sekitar kawasan utamanya, Nevsky Prospekt.

Menurut Mail Online, ada kalanya rombongan dibawanya mencecah 30 pelancong untuk melawat dan mengenali 15 bangunan yang jarang diketahui sejarahnya di laluan berkenaan.


RASNER menunggu pelancong yang ingin menggunakan perkhidmatannya tepat jam 9 pagi setiap hari.

Walaupun ada yang menyertai rombongannya untuk mengetahui sejarah terselindung bandar itu, tidak kurang yang mahu mendengar sendiri kisah Rasner.

Alexander Kazhayev, 28, berkata, dia mahu menemui sendiri Rasner yang semakin terkenal di Russia apabila kisahnya tersebar di Internet.

“Dia bagaikan legenda dan saya amat berbangga mengenalinya. Dia tidak mengemis sebaliknya mencari rezeki dengan berkongsi pengalaman dan ilmunya.

“Pengalaman menyertai rombongan pelancongnya amat unik dan menyentuh emosi,” katanya.


POPULARITI Rasner berkembang melalui media sosial.

Rasner pernah menjadi guru geografi dan biologi namun pada masa sama membuat kerja sambilan sebagai pemandu pelancong pada hujung minggu. Malangnya, pada usia 57 tahun dia kehilangan tempat tinggal dan terpaksa tinggal di kawasan pembinaan yang terabai di St Petersburg.

Menurutnya, dia jarang berlapar kerana ramai orang bersimpati memberi makanan, sebaliknya cabaran utama adalah cuaca sejuk.

Dia akhirnya berazam mengubah keadaan dengan kembali menjadi pemandu pelancong dan popularitinya berkembang selepas seorang sukarelawan menyebarkannya di media sosial Russia.

Rasner juga mendapat tempat tinggal tetap dengan bantuan seorang peminatnya.


RASNER kini mendapat kediaman tetap dengan bantuan seorang peminatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 9:56 AM