KOLEKSI meriam sekitar abad ke-18 yang dipinjam dari Mobee Royal Family Slave Relics Museum Badagry, Nigeria. Sebiji meriam boleh ditukar untuk mendapatkan 100 hamba.
Agensi

PADA akhir Ogos 1619, sebuah kapal yang membawa 20 lelaki dan wanita Afrika berlabuh di Point Comfort yang kini dikenali sebagai Fort Monroe di Hampton, Virginia.

Ketibaan mereka pada 400 tahun lalu direkodkan peneroka Inggeris, John Rolfe dan dipercayai kumpulan pertama masyarakat Afrika yang ditangkap untuk dihantar ke jajahan koloni Amerika Utara di Britain.

Perjalanan panjang dan berbahaya merentasi Atlantik itu mungkin bermula di Angola, kata sejarawan yang percaya sejurus tiba, mereka dijual sebagai pertukaran untuk mendapatkan makanan.

Jutaan lelaki, wanita dan kanak-kanak Afrika diangkut menggunakan kapal merentasi Lautan Atlantik antara abad ke-16 hingga ke-19.

Kebanyakannya mati dalam keadaan mengerikan manakala mereka yang terselamat dijadikan hamba untuk bekerja di ladang.

Sempena menjelang ulang tahun ke-400, jurugambar Reuters melawat beberapa muzium di Ivory Coast, Nigeria, Afrika Selatan dan Britain yang memaparkan pelbagai barangan pemerdagangan hamba dari Afrika ke Amerika Utara.


CETAKAN gambar Brookes Slave Ship bertarikh 1791.

Satu siri gambar memaparkan barangan seperti rantai, belenggu, penyokong leher, cambuk, senarai dokumen lelongan dan rawatan ke atas hamba dan rekod hukuman.

Model kayu kecil kapal hamba Brookes antara barangan pameran di Wilberforce House, yang dinamakan sempena William Wilberforce kerana kejayaannya dalam kempen melarang pemerdagangan hamba di Parlimen British pada 1807.

Model berkenaan digunakan Wilberforce dalam ucapannya di Parlimen.

Penolong kurator projek di Wilberforce House Museum, Hull, England, Rebecca Nelson berkata:

“Menerusi model berkenaan, Wilberforce dapat menunjukkan betapa teruknya keadaan hamba Afrika yang berada di atas kapal berkenaan.


ALAT ini digunakan untuk menggantung hamba yang degil pada pokok.

ALAT ini akan dipanaskan dalam api kemudian nama pedagang hamba ditulis di atas kulit hamba.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 9:38 AM