MESIN treadmill mempunyai inverter terbina dalam, sama seperti pada panel solar dan turbin angin.
Agensi

TENAGA manusia yang terhasil semasa melakukan senaman kecerdasan berupaya diubah menjadi tenaga elektrik.

RTE News yang memetik Reuters melaporkan, ia ternyata berkesan apabila sebuah gimnasium di California berjaya menjana tenaga elektrik untuk fasiliti berkenaan hasil daripada tenaga senaman manusia.

Gimnasium Sacramento Eco Fitness memasang treadmill bukan bermotor dan beberapa basikal pegun yang dibuat pengeluar peralatan sukan berpangkalan di Washington, SportsArt.

Mesin kardio berkenaan mempunyai inverter terbina dalam, sama seperti yang ada pada panel solar dan turbin angin.

Ia mengubah watt yang dihasilkan semasa bersenam ke dalam tenaga elektrik untuk memaksimumkan gim.

Tenaga elektrik yang berlebihan pula dihantar ke bateri untuk menyalakan lampu semasa jam luar puncak.

“Kami memanfaatkan tenaga manusia untuk menghasilkan tenaga bersih,” kata pemilik gim, Jose Antonio Avina yang membuka gim berkenaan pada 2016.

Katanya, kelas putaran pada basikal pegun akan menghasilkan antara 1,000 dan 2,500 watt malah cukup untuk kegunaan peti sejuk.


AVINA menggalakkan orang ramai melakukan senaman bukan sahaja untuk kesihatan diri malah menjaga alam sekitar.

Senaman yang singkat juga dapat membuat perubahan.

“Secara purata, sekurang-kurangnya anda menghasilkan 20 watt dengan latihan selama 20 minit,” kata bekas tentera laut Amerika Syarikat itu.

Gimnasium berkenaan yang mempunyai treadmill berkuasa sendiri menggunakan sistem brek mekanikal dan elektromagnetik untuk menjana kuasa, menurut SportsArt.

Ia tidak menggunakan kuasa elektrik sama sekali dan tidak akan bergerak sehinggalah seseorang melangkah ke atasnya.

Ahli gimnasium yang paling cergas pun akan berpeluh dalam beberapa minit selepas melakukan senaman seperti berjalan, berlari atau yang paling sukar ‘sled pushing’.

Avina berkata, kebanyakan ahli gimnasium menyertai pusat itu kerana sukakan mesin kardio eko.

Nicole McCabe, 24, berkata, mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dianggap penting dalam hidupnya.

“Ia menarik perhatian saya apabila berkaitan dengan alam sekitar malah gabungannya dengan kecergasan memberi impak yang besar untuk anda dan alam ini,” kata pengurus projek untuk syarikat ujian persekitaran.

Bagi Avina, gimnasium berkuasa sendiri adalah satu permulaan.

“Saya berharap gimnasium ini dan selainnya di California dapat menyalurkan kuasa ke seluruh blok bandar ini dengan menghasilkan tenaga yang banyak dan mencukupi,” katanya.


BASIKAL pegun mengubah watt yang dihasilkan semasa bersenam ke dalam tenaga elektrik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 9:10 AM