DIKATAKAN tidak mampu menaiki jalan berbukit di Mexico City.
Agensi

VOLKSWAGEN Beetle sudah tidak lagi dihasilkan selepas ini, namun ia akan terus menjadi kereta kegemaran pemandu Mexico sampai bila-bila.

Edisi moden model VW ikonik dihentikan pengeluaran minggu lalu di kilangnya di Puebla, Mexico, dengan pekerjanya melambai selamat tinggal kepada kereta bulat yang enjinnya di belakang badan, ketika sambutan khas seterusnya mengakhiri kenderaan yang menjadi simbol pelbagai perkara sepanjang lapan dekad.

Namun, penduduk di bandar Cuautepec di pinggir Mexico City, tetap bergantung kepada versi asal kereta itu kerana dianggap amat mampu milik dan mudah dibaiki selain sesuai dipandu di jalan raya bandar itu yang curam kerana berbukit.


BEETLE versi lama amat popular di Cuautepec.

Kereta kompak model lama yang digelar ‘vochos’ oleh penduduk tempatan popular sebagai teksi sapu di bandar yang tiada pengangkutan awam itu, lapor Daily Mail.

Ia boleh dilihat di mana-mana di Cuautepec malah boleh dikatakan menjadi satu obsesi selepas pengeluaran versi awal itu dihentikan pada 2003 kerana model baharunya tidak mencetuskan minat penduduk tempatan.

Pemandu teksi, Adrian Martinez berkata: “Versi baharu tidak mampu menaiki jalan berbukit di sini berbanding model lama.”

Rekaan asal kereta itu yang antara lain bulat dan mampu membawa lima penumpang, selain enjin di belakang dicipta jurutera Austria, Ferdinand Porsche yang dipilih Adolf Hitler untuk menghasilkan ‘kereta rakyat.’

Ia pertama kali diperkenalkan pada 1938 sebelum Perang Dunia Kedua dan kilang di Wolfsburg, Jerman itu dimusnahkan bom.

Selepas perang, pegawai tentera Britain, Mejar Ivan Hirst diminta menghasilkan semula kereta itu. Kereta itu kemudian menjadi popular dalam kalangan pengguna Amerika Syarikat.

Bagi penduduk Mexico, tamatnya pengeluaran Beetle memang menandakan berakhirnya satu era.


SEORANG pemandu teksi turut menjual rokok dan gula-gula untuk pelanggannya.

Kilang VW di Puebla sekian lama menjadi satu-satunya yang masih menghasilkan Beetle Klasik di dunia, malah baru-baru ini juga yang tunggal masih mengeluarkan versi moden.

Teksi ‘vochos’ berwarna hijau dan putih juga digunakan meluas di Mexico City satu ketika dulu, namun pihak berkuasa bandar menghentikan pengeluaran lesen untuk tujuan itu pada 2012.

Susulan itu, pemandu teksi Francisco Trujillo mengakui ini bererti dia dan rakan yang masih menggunakan model lama di Cuautepec sebenarnya melanggar undang-undang, tetapi polis ‘menutup mata’.

Katanya, penduduk masih gemar menggunakan khidmat mereka.

Bagaimanapun, ada juga penduduk Mexico City bersorak ketika teksi ‘vochos’ dimansuhkan kerana terdapat pihak tidak bertanggungjawab menggunakannya untuk merompak.

Disebabkan kereta itu hanya mempunyai dua pintu, tempat duduk di sebelah pemandu sering dikeluarkan untuk memudahkan penumpang keluar masuk.

Bagaimanapun, ada kalanya perompak yang mungkin bersubahat dengan pemandu tiba-tiba muncul menuntut wang manakala penumpang tiada pilihan selain menyerahkan hartanya kerana terperangkap di tempat duduk belakang.

Malangnya, alat ganti ‘vochos’ semakin sukar diperoleh dan dibimbangi menyebabkan penggunaan Beetle pupus sepenuhnya.


PEKERJA di kilang di Puebla mengucapkan selamat tinggal kepada model Beetle.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 10:41 AM