ARMSTRONG mengenakan sut sebelum melakukan misi pada 1969.
Agensi

LIMA puluh tahun lalu, Neil Armstong menjadi manusia pertama yang berjaya menjejakkan kaki ke bulan dan ia dianggap sebagai saat paling penting dalam sejarah.

Daily Mail melaporkan, Armstrong dan rakan angkasawan, Edwin ‘Buzz’ Aldrin dan Michael Collins berlepas dari Pusat Angkasa Kennedy, Florida pada 16 Julai 1969 dengan mengikuti perjalanan pergi balik sejauh 772,485 kilometer.

Kapal angkasa mereka yang dilancarkan oleh roket Saturn V mempunyai tiga bahagian termasuk modul lunar dikenali sebagai Eagle untuk mendarat ke bulan.


ALDRIN mengeluarkan bahan eksperimen sebaik mendarat ketika melakukan misi Apollo 11.

Sebaik Eagle mendarat, Armstrong yang meninggal dunia pada 2012, melakukan langkah pertama yang paling bersejarah diikuti Aldrin.

Keberanian serta pencapaian tiga individu itu tidak boleh dipandang remeh dan hari ini mereka diraikan dengan melihat kembali sejarah yang sudah dicipta.

BBC melaporkan, kira-kira 650 juta rakyat di seluruh dunia berpeluang menyaksikan detik bersejarah itu.

Namun, di sebalik sejarah penting itu, misi Apollo 11 berkenaan sebenarnya dilakukan ketika Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Soviet bersaing dalam bidang angkasa susulan pelancaran satelit Soviet Sputnik pada 1957.


YURI Gagarin dan wanita pertama ke angkasa lepas, Valentina Tereshkova mengikuti misi oleh Soviet.

Ketika John F Kennedy menjadi Presiden AS pada 1961, rakyatnya percaya mereka tewas dalam kuasa teknologi kepada musuh Perang Dingin dan ia adalah tahun sama Soviet melancarkan kapal angkasa pertama dikendalikan manusia.

AS sudah memasang azam untuk melakukan misi menghantar manusia dan antara petikan ucapan terkenal Kennedy pada 1962 ialah ‘Kami memilih untuk pergi ke bulan!’.

Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Amerika Syarikat (NASA) begitu komited menggunakan sumber mereka sepenuhnya untuk melakukan program Apollo.


ROKET Saturn V yang digunakan untuk program Apollo.

Kira-kira 400,000 orang terbabit dalam program berkenaan yang menelan belanja AS$ 25 bilion (RM102 bilion).

Sehingga kini, AS menjadi satu-satunya negara dalam dunia yang berjaya menghantar manusia ke bulan. Negara lain seperti Russia, Jepun, China, Agensi Angkasa Eropah, Israel dan India sama ada menghantar kapal kecil untuk mengelilingi bulan atau mendaratkan kenderaan di permukaannya.


TIGA angkasawan kelihatan ceria selepas kembali semula ke bumi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 9:45 AM