KANAK-KANAK bersama keluarga masing-masing meninggalkan, Idlib, susulan bedilan bertalu-talu tentera kerajaan Syria.
Agensi

KHALED al-Bakour yang berusia empat tahun cuba menyembunyikan dirinya di dalam bilik tidur bersama dua abangnya apabila dinding rumah konkrit itu jatuh menimpanya membuatkan dia tersepit di bawah runtuhan akibat serangan kapal perang Syria.

Abangnya menjerit ketakutan, terlalu muda untuk membantu dan dikelilingi sebahagian runtuhan rumah di Maarat al-Numan, selatan kota Idlib, Syria.

“Dia ada di sini, tolonglah kami!” kata dua budak lelaki itu dalam tangisannya sambil memandang ‘White Helmet’ iaitu anggota pasukan pertahanan awam yang beroperasi di kawasan pemberontakan Syria, tiba di tempat kejadian dan berusaha keras mengalihkan batu untuk mencarinya.


FATIMA antara kanak-kanak yang menjadi mangsa.

Khaled dibawa ke sebuah hospital berdekatan selepas diselamatkan akibat serangan itu.

Bercakap kepada Middle East Eye (MEE), ayah Khaled berkata: “Anak saya mengalami dua patah tulang, kulit tersiat dan otot tangan kirinya koyak.

“Dia hilang satu jari dan doktor memberitahu kemungkinan dia bakal kehilangan satu lagi jari.

“Khaled menjalani pembedahan semalam dan turut kehilangan kulit, otot dan patah tulang kaki kanan.”

Khaled mangsa serangan di wilayah Idlib oleh pasukan Syria dan Russia sejak akhir April. Secara puratanya dua kanak-kanak terbunuh dan sekolah menjadi sasaran setiap hari, menurut kumpulan aktivis Rangkaian Syria bagi Hak Asasi Manusia (SNHR).


SUKARELAWAN Syria atau ‘White Helmets’ cuba menyelamatkan Khaled selepas runtuhan di bilik tidurnya.

Menurut SNHR, antara 26 April hingga 27 Jun 2019, sekurang-kurangnya 518 orang awam terbunuh di Idlib, termasuk 128 kanak-kanak dan 97 wanita manakala kira-kira 1,612 orang awam cedera.

“Perikatan Russia-Syria menyasarkan 77 sekolah, termasuk menggunakan peluru berpandu secara sistematik oleh angkatan Damsyik dan sekutu mereka.

“Sekolah dilindungi undang-undang antarabangsa dan sengaja menjadikannya sasaran adalah satu jenayah perang.

“Pembunuhan kanak-kanak dilakukan secara sistematik untuk menimbulkan kekacauan, panik dan memaksa orang awam untuk kembali berpihak pada pihak berkuasa Damsyik atau hidup susah tanpa kemudahan.

“Damsyik mahu menghentikan proses pendidikan dengan tujuan mendorong kanak-kanak menyertai angkatan tentera dan membina generasi tidak berpendidikan yang didominasi kejahilan,” kata pengerusi SNHR, Fadel Abdul Ghany kepada MEE.

Dalam tempoh kurang dua bulan di Idlib, selain 77 sekolah, SNHR mendakwa pasukan Syria dan Russia turut menyerang 33 fasiliti perubatan, 46 rumah ibadat dan tiga kem.


RUSSIA berkeras nafikan kempen pengebomannya itu menyasarkan hospital.

Pakar analisis dan ketenteraan, Brigadier Ahmed Rahal yang berpaling tadah dari kerajaan Syria berkata: “Kira-kira 90 peratus operasi ketenteraan dan serangan yang diketuai Damsyik dan Moscow ke atas orang awam untuk memberi tekanan kepada pejuang.

“Sasaran bersistematik ke atas infrastruktur untuk menyebabkan kemusnahan paling besar, memecahkan semangat orang awam dan memotong semua jenis perkhidmatan.

“Operasi ketenteraan ini dilakukan sebagai kejutan, bagi mewujudkan masyarakat yang terdesak dengan meletakkan tekanan ke atas kumpulan pemberontak agar berhenti berperang seperti mana berlaku di Daraa yang kini dikuasai Damsyik.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 8:58 AM