SEORANG penduduk memasak berhampiran sebuah kubur.
AFP

KAWASAN perkuburan adalah destinasi terakhir untuk manusia selepas kematian tetapi sebuah kawasan perkuburan di Phnom Penh, Kemboja ini bertukar menjadi tempat tinggal untuk mereka yang masih hidup.

Tanah perkuburan yang biasanya sunyi sepi dan menyeramkan ini kini menjadi pilihan tempat tinggal oleh penduduk miskin selepas rumah setinggan mereka dirobohkan akibat pembangunan.

Seorang wanita, Ma Nith, 42, berkata, dia terkejut apabila kawasan perkuburan Smor San di bandar itu bakal menjadi tempat tinggalnya selepas berkahwin dengan lelaki pilihan keluarganya.

“Saya hampir tidak percaya saya akan tinggal di sini,” kata ibu kepada empat orang anak itu ketika memasak di luar rumahnya sementara anaknya lelakinya memanjat batu nisan berhampiran.

“Tetapi kini saya sudah membiasakan diri. Saya sudah tinggal di kawasan kubur ini selama 16 tahun,” jelasnya.

Selepas puluhan tahun terjerumus dalam kancah perang saudara dan pemerintahan diktator rejim Khmer Rouge, Kemboja kini menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang rancak.

Bank Dunia menganggarkan pertumbuhan ekonomi Kemboja tahun ini mencecah 7.5 peratus, tertinggi selama empat tahun.

Bagaimanapun, ketika bangunan kondominium mula menggantikan kawasan setinggan, 14 peratus penduduk di negara itu masih hidup di bawah paras kemiskinan.

Keluarga Ma Nith adalah antara 130 penduduk yang tinggal di kawasan perkuburan Smor San dan membuat rumah daripada bahan terbuang.

Sebahagian penduduk di situ adalah komuniti yang hilang tempat tinggal selepas rumah mereka musnah akibat hakisan di sungai Bassac dan sebahagian lagi penduduk setinggan dihalau untuk pembangunan baharu.

Bagi kebanyakan penduduk ini, tanah perkuburan adalah pilihan yang terbaik kerana tiada risiko dihalau dari tanah itu untuk pembangunan.

Majoriti penduduk Kemboja beragama Buddha dan mereka biasanya membakar mayat si mati tetapi bagi penduduk daripada etnik Vietnam secara tradisi mengebumikanmayat.

Keadaan tanah perkuburan Smor San yang semakin sesak dengan penduduk menyebabkan kebanyakan waris menggali semula kubur ahli keluarga mereka untuk dikebumikan semula di tempat lain.


DUA wanita menceritakan kehidupan mereka di tanah perkuburan berkenaan.

“Mereka rimas kerana ramai tinggal di sini. Mereka akan gali kubur ahli keluarga mereka dan kebumikan di tempat lain,” kata seorang penduduk, Peanh Moeun, 63, yang berbaring di katil kayu yang diletakkan di antara dua kubur.

Ketika Peanh Moeun pindah ke tanah perkuburan itu kira-kira 19 tahun lalu, terdapat lebih 300 kubur. Kini hanya 110 kubur yang masih tinggal.

Berhampiran, Am Sokha melihat seorang jiran membina rumah baharu berhampiran beberapa kubur.

Am Sokha memberitahu, dia kadangkala makan makanan yang diletakkan di kubur sebagai pemberian kepada si mati.

“Kami menghalau hantu dari sini. Sebelum ini kami tiada rumah dan kini kami mahu tinggal di sini selama-lamanya.

“Di sini selamat dan berdekatan dengan pasar. Kami juga mempunyai bekalan elektrik dan air,” katanya.


SEORANG pelajar sekolah berjalan melintasi beberapa kubur untuk pulang ke rumahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 8:40 AM