SATU pasukan menyiapkan robot masing-masing
Forbes

PIALA Dunia bola sepak adalah antara kejohanan paling ditunggu peminat sukan tetapi piala dunia untuk bola sepak robotik juga tidak kurang meriahnya.

Kejohanan piala dunia bola sepak robotik atau lebih dikenali sebagai RoboCup 2019 berlangsung pada 2 Julai hingga 8 Julai di Pusat Konvensyen Antarabangsa di Sydney, Australia.

Pertandingan tahunan kali ke-23 itu sebenarnya dianjurkan sekumpulan ahli akademik dari beberapa universiti di Jepun dan Amerika Syarikat (AS) sebagai pemangkin untuk mempromosikan kajian robotik serta kecerdasan buatan (AI).

Walaupun kemajuan itu belum dicapai, misi RoboCup adalah menjelang pertengahan kurun ke-21, satu pasukan robot boleh memenangi pertandingan bola sepak menentang juara Piala Dunia dengan mematuhi peraturan FIFA.

Juara Piala Dunia ketika ini iaitu Perancis tidak perlu risau kerana robot bersaiz manusia dan boleh bermain seperti manusia serta menewaskan mereka masih lagi jauh daripada kenyataan.

Bagaimanapun, mereka di sebalik RoboCup yakin pertandingan seperti itu akan dapat diadakan dalam tempoh beberapa dekad lagi.

Mereka juga yakin RoboCup akan dapat mencapai tahap seperti komputer super, Deep Blue yang menewaskan juara dunia catur, Garry Kasparov dengan mengikut peraturan rasmi.

Untuk mencapai tahap itu, setiap pasukan perlu memajukan teknologi masa nyata lakuran sensor, kelakuan reaktif, pemerolehan strategi, pembelajaran, merancang masa nyata, sistem multiagen, pengecaman konteks, visi, membuat keputusan strategik, kawalan motor dan kawalan robot pintar.

Pertandingan rasmi pertama RoboCup dan persidangan diadakan di Iran pada 1997 yang disertai lebih 40 pasukan dengan lebih 5,000 penonton.

Pada tahun ini kehadiran dijangka lebih meriah dengan disertai pasukan dari beberapa universiti dan kolej dari seluruh dunia.


MISI RoboCup adalah mencipta pasukan robot yang mampu mengalahkan juara Piala Dunia bola sepak satu hari nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 8:30 AM