TEROWONG yang dihiasi dengan pelbagai jenis mi cawan yang pernah dikeluarkan.
Agensi

DI seluruh dunia terdapat pelbagai muzium menarik dan luar biasa tetapi sebuah muzium di Jepun ini pasti membuatkan pengunjungnya berasa lapar.

Terletak di Osaka, Muzium Mi Cawan yang mempamerkan hampir semua sejarah mengenai makanan segera ikonik negara itu.

Antara tarikan di muzium itu adalah sebuah terowong yang dihiasi lebih 800 peket mi cawan.

Di terowong itu pengunjung boleh melihat dan mempelajari sejarah makanan itu sejak awal ia dicipta kira-kira lebih 50 tahun lalu hinggalah ke produk hari ini.


PENGUNJUNG boleh membuat mi cawan dengan perisa sendiri.

Terowong mi cawan itu antara lokasi yang paling banyak pengunjung merakamkan gambar untuk dimuat naik di Instagram.

Namun, bukan itu saja yang menjadi tarikan di Muzium Mi Cawan berkenaan.

Pengunjung boleh menyertai pelbagai aktiviti di muzium berkenaan termasuk bengkel membuat mi segera apabila anda boleh mencipta perisa anda sendiri.

Terdapat juga pameran mengenai sejarah makanan segera dan kuiz apabila anda boleh menguji pengetahuan mengenai makanan itu.

Sebuah replika kilang kecil tempat ramen ayam iaitu mi segera pertama di dunia dicipta.


REPLIKA kilang kecil yang menjadi tempat kelahiran Ramen Ayam iaitu mi segera pertama di dunia.

Muzium itu mempunyai sebuah pawagam mini yang menayangkan kisah yang memberi inspirasi kepada penciptaan mi segera dan proses pembuatan makanan itu.

Sudah pasti terdapat sebuah kafe yang pengunjung boleh menikmati pelbagai jenis dan perisa mi segera.

Sebelum pulang, anda boleh singgah di kedai cenderamata di muzium ini yang mempunyai pelbagai barang hiasan dan kenangan berkonsepkan mi segera.


PELBAGAI mi cawan yang dipamerkan di muzium berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 11:08 AM