PERTEMBUNGAN separuh akhir dilihat luar biasa kerana pemain saling mengasak lawan mereka ke lumpur sementara penonton bersorak gembira setiap kali gol melepasi gawang.
Agensi

DENGAN badan berlumpur dan darah mengalir dari hidung, sepasukan lelaki Itali berbadan sasa saling bertumbuk, menendang dan mencekik dalam kejohanan tahunan sukan tradisional Calcio yang terkenal dengan aksi ganas.

Ratusan peminat sukan lasak itu memenuhi plaza Piazza Santa Croce di Florence, Tuscany untuk menyaksikan versi sukan ganas berusia 450 tahun yang menggabungkan aksi bola sepak, ragbi dan gusti.

Sukan tradisional itu dicipta oleh Giovanni de Bardi pada 1580 yang dikenali sebagai ‘Calcio Storico Fiorentino’ bermaksud bola sepak Florentine bersejarah.


PEMAIN daripada pasukan biru cuba menarik lawannya yang sedang membawa bola.

Permainan antara dua pasukan dengan 27 pemain itu akan berasak-asak di arena berpasir yang berlumpur bagi merebut bola dan melontarkannya ke gawang lawan dengan apa jua cara sekalipun dalam masa 50 minit.

Pertembungan separuh akhir dua pasukan itu dilihat luar biasa kerana pemain lelaki saling berasak dan menolak satu sama lain ke dalam lumpur sementara penonton bersorak gembira setiap kali pemain berjaya menjaringkan gol.


PERMAINAN berlangsung selama 50 minit dan pasukan yang mendapat gol paling banyak dikira menang.

Pemain bertumbuk di muka sehingga menyebabkan pendarahan manakala sebahagian pemain yang sedang mengejar dan melarikan bola akan dipintas dengan cara menendang kaki lawan mereka.

Walaupun ganas dan kebanyakan pemain cedera dengan kesan lebam di muka, apabila wisel penamat ditiupkan mereka tersenyum dan berpelukan sebelum meninggalkan padang.

Pada tahun ini sekali lagi sukan bersejarah itu menutup tirai dengan aksi yang penuh mendebarkan.


PEMAIN daripada pasukan biru mengunci lawannya di atas padang bagi membantu pasukannya menjaringkan gol.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 10:11 AM