PETUGAS kesihatan Afghanistan memberi vaksin polio kepada kanak-kanak daerah Arghandab dalam wilayah Kandahar. FOTO AFP
AFP

FARID dari Kandahar, Afghanistan yang berusia dua tahun sepatutnya sudah menerima vaksin polio, namun keluarganya yang tinggal di pedalaman enggan kerana percayakan tohmahan mengenai vaksin berkenaan.

Kanak-kanak itu kini dijangkiti polio, penyakit yang tiada ubat dan berkemungkinan tempang seumur hidup

“Apabila doktor memberitahu dia mendapat polio, saya amat sedih, kesal kerana percayakan kata-kata mereka bahawa vaksin polio adalah rancangan jahat terhadap umat Islam,” kata bapa saudara budak berkenaan, Abdul Wali.


JUMLAH pesakit polio di Afghanistan kembali meningkat dengan 21 kes baharu dilaporkan tahun lalu. FOTO AFP

Jumlah pesakit polio di negara itu menurun daripada 80 pada 2011 kepada 13 orang pada 2016. Namun, tahun lalu jumlahnya kembali meningkat dengan 21 kes baharu dilaporkan.

Kerajaan Afghanistan mewajibkan vaksin polio, namun sukar dilaksanakan di kawasan pedalaman akibat sikap penduduk yang terpengaruh dengan dakyah palsu.

Taliban yang menguasai separuh wilayah Afghanistan melarang program vaksin berkenaan di kawasan dikuasainya. Mereka memberitahu masyarakat, vaksin adalah konspirasi Barat bertujuan memandulkan kanak-kanak Islam atau program berkenaan adalah topeng pengintip kerajaan.


KEMPEN pintu ke pintu memberi vaksin paling berkesan namun Taliban melarang kempen rumah ke rumah dengan alasan program berkenaan digunakan untuk mengintip. FOTO AFP

CIA pernah menggunakan kempen imunisasi palsu bagi mengesan pemimpin Al-Qaeda, Osama Bin Laden sebelum berjaya membunuhnya di Abbottabad, Pakistan pada 2011.

Kebimbangan terhadap vaksin itu amat besar hinggakan ada ibu bapa memaksa anak mereka memuntahkannya kembali selepas terpaksa mengambilnya di pusat kesihatan kerajaan.

“Kami sudah sering menghadapi kejadian seperti itu. Mereka percaya program vaksin ini adalah propaganda,” kata Aziza Watanwal, doktor di Kandahar.

Yar Mohammad yang membawa anak perempuannya, Razia, 3, ke klinik kerajaan di Kandahar uutuk rawatan berkata, mullah di perkampungannya memberitahu penduduk vaksin melemahkan iman umat Islam. Anaknya itu kini dijangkiti polio.

“Dia sekarang lumpuh,” kata Yar sambil melihat Razia yang terbaring di atas katil.

Pelbagai versi tohmahan terhadap vaksin seperti di wilayah sempadan Afghanistan-Pakistan yang dihuni pelbagai puak, vaksin dikatakan mengandungi unsur tidak halal termasuk darah babi.

“Saya ada mendengar golongan tua dan mullah di sini serta Pakistan menyatakan vaksin polio tidak halal serta mereka yang mengambilnya akan lemah iman kepada Allah,” kata penduduk Kandahar, Abdul Wasay Rahimi.

Semua kes baharu polis di Afghanistan tahun ini, berlaku di kawasan dikuasai Taliban di selatan negara itu.

Penasihat kanan Kementerian Kesihatan Afghanistan, Hedayatullah Stanikzai berkata, tahun lalu, Taliban melarang kempen vaksin dari rumah ke rumah memaksa kakitangan perubatan melakukannya di masjid.

Kempen pintu ke pintu adalah kaedah paling berkesan namun ia sukar diterima penduduk berikutan sejarah penggunaannya oleh CIA.

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid berkata, pertubuhannya yakin petugas vaksin polio mempergunakan program itu untuk mengumpul maklumat risikan untuk kegunaan kerajaan dan tentera asing.


PEMBERIAN vaksin polio sukar dilaksanakan di kawasan pedalaman akibat sikap penduduk yang terpengaruh dengan dakyah palsu. FOTO AFP

“Rumah pegawai Taliban yang dikenal pasti ketika program itu kemudian dibom oleh tentera penjajah,” katanya.

Selain Afghanistan, polio juga mengancam dua lagi negara iaitu Pakistan dan Nigeria selain kes dikesan di Papua New Guinea tahun lalu.

Lebih sejuta kanak-kanak Afghanistan tidak menerima vaksin polio pada 2018 dan jika larangan Taliban berterusan, lebih dua juta kanak-kanak tidak akan mendapat pelindungan daripada ancaman polio.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 10:37 AM