RESTORAN ini hanya boleh memuatkan lapan orang sahaja.

SEBUAH restoran kecil di hujung sebuah jeti di tepi pantai di Wales Utara diumumkan sebagai restoran tradisional British terbaik tahun ini.

Restoran Whistlestop hanya boleh memuatkan lapan pelanggan di dalamnya manakala 20 orang boleh menikmati hidangan di luar sambil menghirup udara segar dan pemandangan luar biasa bandar Snowdonia serta Selat Menai.

Oleh kerana keunikan ini, ia dinamakan sebagai restoran tradisional terbaik tahun ini oleh Anugerah Makanan Wales 2019.

Pemiliknya, Terry Thomas yang menjalankan perniagaan itu bersama isterinya, Jun berkata, lokasi dan hiasan dalaman menarik menyebabkan restoran berkenaan menjadi tumpuan ramai pelanggan.


TERRY Thomas bergambar di dalam restoran miliknya.

“Kerana restoran ini kecil menyebabkan ia mencetuskan suasana istimewa antara pelanggan ketika berkongsi pengalaman masing-masing,” katanya.

Restoran di Jeti Bangor ini terkenal dengan sup chowder makanan laut, kupang dari Selat Menai yang dimasak bersama bawang dan sos wain putih serta roti dan Welsh rarebit.

Thomas juga bangga kerana kebanyakan bahan dalam makanan di restoran itu menggunakan bahan daripada pembekal tempatan untuk mengekalkan cita rasa Wales termasuk roti burger yang dibuat sendiri dan telur dari kilang berhampiran Llanfairfechan.

Pasangan itu juga membuat kek buah tradisional Wales sendiri dan kek muffin di rumah mereka setiap hari.


RESTORAN ini mempunyai pandangan Selat Menai yang cantik.

“Kami juga cuba menyediakan makanan yang diminta pelanggan walaupun ia tiada di dalam menu seperti hot dog, jejari ikan atau sandwic salad.

“Apa saja kami masak, kami lakukan di depan pelanggan,” kata Thomas.

Katanya, kanak-kanak paling teruja apabila melihat penkek disediakan dan dimasak di hadapan mereka.

“Kepuasan pelanggan adalah keutamaan nombor satu kami.

“Kami tidak pernah meminta komen atau ulasan daripada pelanggan tetapi ia sering dikeluarkan di Facebook, Google dan TripAdvisor.

“Kami memandang serius setiap komen yang dibuat pelanggan,” jelasnya.


KAFE kecil ini dinamakan sebagai restoran tradisional terbaik tahun ini oleh Anugerah Makanan Wales 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 9:34 AM