MESKIPUN baru berusia 18 tahun, Karmila adalah wanita pertama Sumatera sebagai joki tong setan.

“AYUH! persembahan tong setan akan bermula sebentar lagi bersama lima wanita!” kata seorang penjual tiket menggunakan pembesar suara di sebuah pasar malam di Binjai, Sumatera Utara sambil memujuk orang ramai menyaksikan pertunjukan tong setan iaitu aksi unik bermotosikal dan mendebarkan jantung, didominasi pemandu wanita.

Tepat jam 7 malam, penonton mula memenuhi kawasan berkenaan sambil beratur untuk membeli tiket berharga Rp10,000 (RM2.90), lapor BBC.com.

Aksi bermotosikal ini dikatakan unik dengan menunggang motosikal di sepanjang dinding ruang sempit yang kelihatan seperti tong gergasi menyebabkannya mendapat gelaran tong setan. Berbeza di tempat lain, joki atau pemain tong setan ini kebanyakannya wanita muda.

Untuk menyaksikan pertunjukan ini, penonton terlebih dahulu mendaki sekitar 30 anak tangga.

Dinding tong gergasi berukuran enam meter bulat dan tinggi empat meter, membentuk sudut yang hampir tegak. Ia kelihatan mustahil untuk menunggang di dinding dengan sudut hampir 90 darjah.

Hiburan rakyat ini biasanya kekal selama satu atau dua minggu di satu-satu tempat sebelum berpindah ke tempat lain di Sumatera kerana ia satu daripada persembahan di pasar malam, selain kincir gergasi dan komedi putar.

Satu persatu pengunjung masuk ke bilik tontonan di atas tong gergasi. Sementara di bahagian bawah tong, beberapa juruteknik memeriksa motosikal sebelum ia digunakan. Terutama tayar dan rantai roda perlu berada dalam keadaan baik, begitu juga tangki bahan api diisi penuh dengan petrol.


TIKET berharga Rp10,000 (RM2.90) dibayar untuk menonton persembahan dalam tong gergasi.

Tujuh joki menghidupkan motosikal dan bersaing sesama mereka membabitkan lima wanita dan dua lelaki.

Asap berkepul-kepul daripada ekzos diiringi bunyi enjin menderu-deru dan joki mula beraksi satu demi satu. Mereka menunggang motosikal di dinding tong gergasi dalam keadaan hampir tegak secara bulatan, dari bawah ke atas dengan kedudukan miring seolah-olah melawan hukum graviti.

Mereka beraksi secara berganti-ganti selama 15 minit. Pertunjukan itu berakhir pada tengah malam.

Menunggang motosikal mengelilingi dinding menegak sudah cukup berbahaya namun tidak bagi joki kerana mereka dilatih melakukan pelbagai aksi antaranya menunggang sambil baring, berdiri, mengangkat satu kaki atau menggerakkan kedua-dua kaki pada satu sisi.

Malah, mereka semua melakukannya tanpa memakai topi keledar dan peralatan keselamatan.

Penonton menahan nafas sepanjang melihat persembahan joki. Selepas semua motosikal kembali ke dasar tong, itu tandanya persembahan sudah tamat dan mereka menarik nafas lega diiringi tepukan gemuruh penonton.

Bagaimana mereka mampu menunggang seperti itu tanpa berasa takut jika terjatuh, misalnya?

Karmila Purba, 18, dari Pematang Siantar antara wanita muda yang berkecimpung dalam aksi tong setan selama lebih lima tahun.

“Perasaan takut sememangnya ada, cuma kami perlu kawal perasaan dan sedar pekerjaan kami adalah untuk menghiburkan orang. Kami berasa gembira kerana penonton terhibur dan bertepuk tangan melihat aksi kami,” kata Karmila sebelum beraksi di pasar malam Binjai pada pertengahan Mei lalu.

Kira-kira 200 orang menyaksikan Karmila dan rakannya beraksi sambil menjerit memberi sokongan dan mencampakkan wang yang dianggap sebagai ‘saweran’ atau tip.


MENTOR Tora memeriksa motosikal anak didiknya sebelum persembahan bermula.

“Saweran (bayaran tip) membuatkan kami bersemangat mendapatkan wang selain gaji, membolehkan saya mempunyai wang saku sendiri dengan menerima antara Rp50,000 hingga Rp100,000 (RM14.50-RM29.10).

“Tetapi perkara menyedihkan apabila ada pengunjung bergurau dengan saweran. Disebabkan mereka fikir pekerjaan ini hanya untuk suka-suka jadi kami cuma diberi Rp2,000 (RM0.58). Sedih. Tetapi, kami hanya mampu pendamkan saja,” kata Karmila.

Sejak kecil Karmila sudah tertarik dengan motosikal dan aksi tong gergasi.

Karmila berkata: “Ketika kecil dulu saya ingin tahu bagaimana motosikal boleh berpusing di dalam tong, apa rahsianya. Saya berusaha untuk mahir dalam aksi ini, ya, semuanya kerana ingin tahu.”

Penampilan Karmila sebagai joki wanita menarik perhatian pengunjung.

“Kerana perlumbaan itu penuh tekanan dan penunggangnya wanita, membuatkan ia menarik. Saya menikmatinya dan berpuas hati,” kata Bima Akbar, seorang penonton di Binjai.

Hiburan yang berisiko tinggi itu mempunyai daya tarikannya tersendiri. Pertunjukan itu memberi tekanan dan menarik perhatian penonton.

Karmila sedar risiko yang ditempuhinya. Impiannya supaya kemahirannya itu menjadikan namanya dikenali sehingga ke luar negara.

Tora Palepi, jurulatih kumpulan joki tong setan memuji Karmila.

“Dia wanita pertama di Sumatera sebagai joki tong setan. Saya juga bangga dapat melatih wanita. Lama-kelamaan, lebih ramai wanita meminatinya. Tidak semua berkebolehan, tetapi kebanyakannya menjadi joki,” kata Tora.

Tora dahulunya joki tong setan dan sebagai penjual tiket mengakui risiko permainan ini. Tetapi menurutnya, keselamatan dengan memakai topi keledar akan mengganggu joki.


KARMILA belajar dengan cara memerhatikan cara tunggangan joki lain yang mengelilingi dinding tong gergasi.

“Seseorang itu perlu yakin, berani saja tidak mencukupi. Dia mesti pandai menunggang motosikal. Penglihatan terganggu dan terhad jika memakai topi keledar,” kata Tora.

Menurutnya, perhatian perlu diberikan kepada rantai roda dan tayar.

“Bahaya sekiranya tayar bocor ketika motosikal di atas akan menyebabkannya jatuh,” katanya.

Karmila berkata, dia tidak pernah bercuti. Dia berhenti sebentar apabila berpindah ke pasar malam lain dan berehat ketika petugas memasang fasiliti hiburan.

Selain itu, dia mendapat sekurang-kurangnya Rp6 juta (RM1,748) setiap bulan tidak termasuk tip.

Berbeza dengan Karmila, Nurul Husna yang baru saja menyertai persembahan tong setan di pasar malam di Sumatera Utara sejak dua bulan lalu mempunyai alasannya tersendiri. Dia mendakwa terpaksa bekerja sebagai joki kerana tidak mempunyai pilihan lain.

“Sebenarnya sejak dari awal saya tidak mahu, cuma ingin membantu ibu bapa. Saya sudah cari kerja lain, tetapi agak sukar,” kata Nurul.

Nurul berkata, dia tidak perlu belajar lama untuk menjadi joki seperti Karmila.

“Belajar sekurang-kurangnya seminggu hingga dua minggu kemudian sudah boleh beraksi. Pada mulanya saya takut, tetapi yang menjadikan saya berani adalah diri sendiri dan tekad untuk membantu ibu bapa, demi ibu saya.

“Ada satu ketika ibu saya datang dan menangis selepas melihat saya bekerja. Dia takut anaknya jatuh dan selalu nasihat supaya saya berhenti kerja. Tetapi bagaimana, hanya di sini saja saya boleh dapatkan wang yang boleh membantu keluarga,” katanya.

Nurul berkata, sebagai tambahan kepada gajinya, mereka mendapat tip daripada penonton sehingga sekitar Rp1 juta (RM291) seminggu yang dibahagikan sama rata dengan semua joki.


MENUNGGANG dan melakukan aksi sambil memegang tangan rakan sekerjanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 8:33 AM