IMAM Ahmed bersolat di Masjid Palermo, antara 13 masjid yang ada di bandar itu.
Agensi

SUARA kira-kira 12 kanak-kanak mengaji al-Quran bergema di satu ruangan di Pusat Budaya Islam Roma di Palermo, Itali.

Selepas beberapa minit, kanak-kanak itu berpecah kepada dua kumpulan dan bermain serta berlari di pusat berkenaan.

Tiba-tiba muncul Imam Sehab Uddin dan kanak-kanak itu segera duduk di tempat masing-masing untuk meneruskan bacaan.

Palermo walaupun berada di negara majoriti penduduknya beragama Kristian, kini ia menjadi tempat tinggal kepada 25,000 imigran yang majoritinya dari negara Islam seperti Bangladesh.

Keadaan itu menjadikan bandar itu sebagai simbol kepelbagaian budaya dan integrasi yang dibina daripada sejarah rantau Sicily.

Sicily pernah menjadi wilayah Islam selama 200 tahun antara kurun ke-19 hingga ke-11 dan ia masih mempunyai tinggalan sejarah Islam secara fizikal serta budaya.

Imam sebuah masjid di Palermo, Ahmad Abd Al Majid Macaluso berjalan di gereja San Giovanni degli Eremiti dan menunjukkan satu bahagian tembok yang usang.

Dia menjelaskan, di situ terletaknya mimbar yang menunjukkan gereja itu sebelum ini adalah sebuah masjid.

“Setiap gereja di sini adalah sebuah masjid. Ini sejarah Sicily,” jelasnya.

Ahmad memberitahu, simbol itu termasuk ukiran ayat al-Quran pada Gereja Palermo dan seni bina Arab serta budaya penduduknya menjadikan mudah untuk imigran Islam menjadikan Sicily sebagai rumah baharu mereka.

“Sudah pasti orang Islam dari negara lain yang datang ke sini berasakan Sicily satu tempat yang menggembirakan kerana ia secara semula jadi bersatu, mengiktiraf persaudaraan orang Islam dengan Yahudi dan agama lain,” kata Ahmad.

Katanya, penduduk Sicily berbeza dengan penduduk Eropah yang lain dari segi kepelbagaiannya.

“Penduduk Sicily ada hubungan rapat dengan Islam dalam DNA mereka,” jelasnya.

Masrur Rahim, pemuda berusia 29 tahun dari Bangladesh memberitahu, dia berpindah ke Palermo ketika berusia sembilan tahun.

Dia kini bekerja di sebuah agensi pelancongan dan Masrur memuji layanan baik penduduk Sicily dan sejarah Islam serta budayanya.

“Hubungan yang kamu rasa adalah daripada penduduknya kerana orang Islam meninggalkan sesuatu kepada mereka.

ANTARA penduduk imigran dari Bangladesh yang menetap di Palermo.

“Penduduk di sini sangat berbeza dengan penduduk Eropah lain. Mereka lebih mesra dan menerima orang luar lebih baik daripada mana-mana tempat di Itali,” jelasnya.

Imam Sehab Uddin juga percaya terdapat perbezaan antara budaya antara wilayah di utara dan selatan Itali.

“Itali seperti sebuah apartmen. Penduduk di utara atau di tingkat atas tidak bercakap dengan penduduk di tingkat bawah iaitu di selatan.

“Penduduk di utara seperti di Padova dan Venice, mereka takut dengan saya. Sekiranya saya menghampiri mereka untuk bertanya sesuatu mereka akan takut.

“Sekiranya saya bertanya kepada sesiapa di sini, mereka akan bantu saya dengan segera,” katanya.

Pengarah Pejabat Kajian Zaman Pertengahan di Palermo, Patrizia Spallino menjelas, bahasa Arab Tunisia pernah menjadi bahasa pertuturan utama di pulau itu selama 1,000 tahun dan masih digunakan dalam dialek penduduk di Sicily.

Pelabuhan Marsala di Palermo sebagai contoh adalah singkatan kepada bahasa Arab iaitu Marsa Allah yang bermaksud ‘Pelabuhan Tuhan’.

Pengaruhnya juga boleh dilihat pada perkataan biasa Sicily seperti ‘meskeen’ yang diambil daripada perkataan Arab ‘miskeen’ yang bermaksud miskin atau malang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 9:07 AM