GOLONGAN nomad menganggap hak mereka untuk mengembara bebas. FOTO: AFP
AFP

“KAMI enggan dikurung dalam sangkar,” tegas Mouloud, mempertahankan hak dan budaya suku kaumnya untuk hidup nomad bersama haiwan ternakan di selatan Maghribi.

Namun keinginan mereka berkelana dan hidup bebas menjadi punca pertelingkahan dengan petani di Souss.

Di pekan Arbaa Sahel, petani, Hmad, 34, dan ramai rakannya berang dengan kerosakan tanaman gandum serta jagung diakibatkan ternakan nomad.

Kemarau menyebabkan beberapa kawasan kering kontang seterusnya air sukar diperoleh dan ini mengakibatkan ketegangan.


SEKUMPULAN nomad makan bersama dalam sebuah khemah di Souss-Massa.

Malah media tempatan melaporkan beberapa perbalahan sejak kebelakangan ini disebabkan gembala nomad mencari kawasan yang sesuai untuk ternakan mereka.

‘Perang’ itu turut dibawa ke rangkaian media sosial termasuk video tersebar menunjukkan lelaki memakai hud yang menggambarkan golongan nomad menyerang penduduk kampung menggunakan kayu dan pedang.

Malah ada penduduk kampung memuat naik gambar didakwa serangan menggunakan unta terhadap tanaman badam mereka.

Ada penduduk membalas dendam dengan meracun bekalan air dan padang ragut nomad.

“Semua tanah yang dimiliki penduduk itu bukan kawasan ragut,” kata Hmad. Dia menunjukkan tanaman gandumnya yang rosak dipijak biri-biri.

Rantau itu memang menjadi pilihan nomad sejak berdekad lalu kerana lebih subur berbanding kawasan bergurun di timur Maghribi.

Sementara itu, Mouloud berkata, lebih ramai nomad kini berada di rantau itu sejak beberapa tahun lalu disebabkan kemarau.

Akibatnya, ketegangan tercetus antara petani dan golongan nomad. Sebuah organisasi tanah tempatan memfailkan 18 kes pencerobohan kumpulan nomad terhadap petani di Arbaa Sahel saja sejak Disember lalu, kata anggota jawatankuasanya, Hassan.

Namun pihak berkuasa berkata, hanya 15 kes direkodkan di seluruh rantau Souss.

Ketegangan bukan saja membabitkan kawasan pertanian, malah turut membabitkan tanah hutan yang merangkumi 1.2 juta hektar di rantau itu, yang dianggap penduduk kampung sebagai milik mereka selaras dengan amalan turun-temurun.

Sebaliknya, gembala nomad menuntut hak mereka mengembara bebas malah dianggap sebahagian daripada identiti Maghribi, kata Mouloud.

Ada yang mengembara hampir 1,000 kilometer sejak awal tahun ini, melintasi kawasan gurun yang luas, kata rakannya, Abu Bakr, seorang pemuda yang berasal dari zon gurun 200 kilometer dari situ.


SEORANG lelaki nomad di depan khemahnya.

Ketika kemarau, mereka berpindah menaiki kenderaan serba rupa bumi untuk mencari tempat baru sementara semua khemah dan haiwan ternakan dibawa menaiki lori. Kumpulan ini sentiasa bergerak ketika kemarau, sebaliknya pergerakan terhad ketika musim hujan.

Statistik rasmi merekodkan kira-kira 40,000 gembala nomad di Maghribi. Sementara itu, kerajaan memperkenalkan undang-undang yang diharap dapat mengawal aktiviti nomad dan memastikan tumbuh-tumbuhan tidak diragut haiwan mereka secara keterlaluan dengan hanya membenarkan kawasan serta laluan tertentu saja.

Nomad juga mesti memiliki permit mengikut peraturan berkenaan. Bagaimanapun, undang-undang itu dibantah kedua-dua pihak dengan golongan nomad menganggap hak mereka untuk dibiarkan bergerak bebas, manakala jawatankuasa tanah petani tidak bersetuju tanah penduduk dijadikan padang ragut nomad.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 5:30 AM