SEKUMPULAN kanak-kanak yang membawa Ondel-Ondel berehat sebelum kembali bekerja.
HM Digital
am@hmetro.com.my


MEMAKAI kostum patung gergasi yang berat dan menari di tengah panas terik di sebatang jalan di Jakarta, Indonesia menyebabkan baju remaja yang dikenali sebagai Juniarti ini dibasahi peluh.

Gadis berusia 15 tahun ini dan beberapa lagi kanak-kanak semuda sembilan tahun mencari rezeki dengan memakai kostum watak makhluk mitos masyarakat Indonesia setinggi dua meter dikenali sebagai Ondel-Ondel.

Kostum itu juga bergerak ke kiri dan kanan ketika mereka berjalan. Wajah patung itu biasanya diperbuat daripada kertas namun kini ia mula digantikan dengan gentian kaca atau resin plastik.


JUNIARTI berehat di hadapan Ondel-Ondel yang dibawanya.

Ondel-Ondel biasanya dalam versi lelaki dengan misai tebal dan muka merah manakala versi wanita itu mempunyai bibir berwarna merah terang serta daun kelapa dijadikan rambut.

Juniarti dan rakan-rakannya membuat tarian dan bergambar dengan orang ramai untuk mendapatkan sedikit wang.

Berhampirannya, sepupunya, Hassan yang berusia empat tahun menari mengikut alunan muzik daripada telefon bimbit sambil memegang bakul untuk meminta wang.

Pada bulan Ramadan ini yang menggalakkan orang Islam bersedekah, kanak-kanak itu berharap mereka akan memperoleh pendapatan lebih dari biasa.

Mereka biasanya boleh mengumpul hingga AS$20 (RM84) sehari tetapi ia bukan satu tugas yang mudah.

Berat Ondel-Ondel yang mempunyai rangka buluh itu boleh mencecah 30 kilogram.

“Ia memang memenatkan,” kata Juniarti kepada AFP ketika berehat di belakang sebuah pusat beli-belah mewah di Jakarta. Di dalam ini sangat panas hingga baju saya basah akibat peluh,” jelasnya.


JUNIARTI memberitahu keadaan di dalam patung itu sangat panas.

Bastian yang membawa Ondel-Ondel selama tiga tahun menunjukkan kesan kerja berat itu pada tubuhnya.

“Ondel-Ondel ini sangat berat. Lihat parut saya ini,” kata kanak-kanak berusia 11 tahun itu sambil menyelak bajunya untuk menunjukkan kesan merah dan calar pada bahunya.

Sebelum ini orang dewasa yang memakai Ondel-Ondel tetapi kini kanak-kanak mula mengambil alih tempat itu.

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan aktivis perlindungan kanak-kanak yang bimbang mereka terdedah kepada eksploitasi dan penderaan.

Bagaimanapun, Juniarti dan Bastian menegaskan, mereka tidak banyak mendapat gangguan selain hanya dihalau oleh pengawal keselamatan.

Mengapa mereka memilih pekerjaan sukar ini pada usia yang muda juga turut menyentuh hati. Juniarti berhenti sekolah ketika di gred tiga dan bekerja untuk membantu keluarganya selepas bapanya meninggal dunia.


HASSAN yang berusia empat tahun berjalan di hadapan Ondel-Ondel yang dibawa Juniarti.

Penduduk yang membuat Ondel-Ondel di kawasan kejiranannya kemudian mempelawa Juniarti untuk memakai kostum berkenaan.

Membuat persembahan di tepi jalan adalah perkara biasa untuk penduduk di kawasan miskin bagi mendapatkan wang.

Dengan membawa Ondel-Ondel, ia membolehkan kanak-kanak ini bekerja dan pada masa yang sama bermain dengan rakan-rakannya.

“Saya boleh bermain dan bergembira dengan kawan-kawan serta pada masa yang sama mencari wang,” kata Yogi Susanto yang berusia 13 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 5:00 AM