PAMERAN keju daripada bakteria ketiak dan tumbuhan yang seolah-olah berkomunikasi.

HM Digital

am@hmetro.com.my

KEJU diperbuat dengan bakteria diambil daripada telinga, jari kaki dan ketiak selebriti, tandas seramik yang dimasak daripada kotoran lembu, botol air yang boleh dimakan dan ‘tumbuhan berkomunikasi’ mungkin bukan pameran biasa yang dilihat di muzium seni dan reka bentuk.

Ia antara eksperimen gastronomi dan penternakan, bertujuan memberi penerangan mengenai kitaran makanan, dari ladang ke pinggan dan diteruskan dalam pameran baru di Muzium Victoria & Albert di London yang lebih dikenali dengan ukiran, tekstil dan cetakannya, lapor Reuters.

“Lazimnya orang menganggap makanan sekadar apa yang ada di dalam pinggan mereka.

“Sebaliknya, setiap hidangan dan perbuatan makan menghubungkan anda dengan alam semula jadi, budaya, ekonomi serta politik kepada tubuh anda sendiri.

“Kami ingin orang ramai melihatnya dari sudut berbeza dan berfikir bagaimana pilihan yang kita buat secara kolektif memberi kesan kepada masa depan kita,” kata pembantu kurator pameran ‘FOOD: Bigger than the Plate’, May Rosenthal Sloan.


HELENE menggunakan teknologi ‘berkomunikasi’ dengan tumbuhan.

Dalam acara ini terdapat pelbagai keju seperti mozzarella, comte, cheddar, cheshire dan stilton atau ‘potret mikrob’, dibuat daripada bakteria yang diambil daripada penyanyi rap Professor Green, cef Heston Blumenthal, penyanyi Suggs, ahli muzik, pembuat keju Alex James dan penulis makanan Ruby Tandoh .

“Terdapat banyak persamaan antara bakteria di bawah ketiak dan apa yang sebenarnya dalam keju.

“Jika anda fikirkan keju buatan tangan, kerana memang buatan tangan bererti seperti bakteria pencipta makanan turut ada.

“Saya fikir ia bukanlah faktor menjijikkan, sebaliknya sebahagian daripada kepelbagaian dan keindahan makanan serta bagaimana bakteria membantu kita menghasilkannya,” kata pereka, Helene Steiner.

Helene antara tulang belakang Projek Florence atau apa yang dianggapnya sebagai projek ‘tumbuhan berkomunikasi,’ hasil penyelidikan selama empat tahun terhadap tumbuhan menggunakan isyarat elektrik dan kimia dengan meletakkan strawberi di dalam mangkuk kaca yang disambungkan ke komputer membolehkan pengunjung menaip soalan dan mendapat jawapan yang dicetak.

“Saya memulakannya selepas melihat kesan racun perosak. Ada ketikanya, kita semburnya enam kali setahun di ladang, secara rawak. Saya fikir menarik jika kita mempunyai cara untuk memahami bila tumbuhan sebenarnya rosak dan racun perosak digunakan ketika itu,” katanya.

Pengkomposan, penternakan, perdagangan dan pemakanan adalah tema yang dieksplorasi dalam pameran terbabit selain membabitkan barangan lain termasuk reka bentuk sosej dan cendawan moden.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 4:30 AM