SYARIKAT percaya pemandu wanita tidak melakukan perbuatan itu kerana pemikiran berbeza dengan lelaki. FOTO AFP
AFP

KERJA pemandu trak gergasi yang dianggap berisiko dan memenatkan di Ghana kini mula diceburi wanita negara itu.

Peluang pekerjaan dikuasai lelaki itu ditawarkan Ladybird Logistics yang mendakwa menjadi syarikat pertama di dunia mengupah pemandu trak wanita sepenuhnya.

Setakat ini, syarikat itu mempunyai 21 pemandu wanita mengendalikan trak membawa muatan 41,000 liter minyak petrol ke lombong emas di Ghana.

Pekerja berkenaan berusia antara 28 hingga 45 tahun dan mereka semua berpengalaman memandu trak muatan berat serta pemandu bas.

Dengan sokongan pengilang trak Sweden, Scania dan tentera Ghana, syarikat itu merancang meningkatkan jumlah pemandu wanita pada masa depan.

Pemandu wanita berkenaan turut menerima latihan fizikal, kelas memandu dan petua pengendalian trak membawa bahan api dari tentera.


PEMANDU wanita turut diberi latihan.

Bagi Abigail Asumadu-Amoah, 44, cabaran terbesar dihadapinya adalah keadaan jalan raya yang berlubang di negara Afrika barat itu.

“Pandu dengan cermat dan berhati-hati. Wanita mampu buat apa yang lelaki boleh lakukan,” katanya ketika mengisi tangki minyak traknya di sebuah depoh di Takoradi, kira-kira 225 kilometer dari Accra.

Pengarah Urusan Zen Petroleum, William Tewiah berkata pengambilan pemandu wanita mengurangkan kes kecurian minyak yang dilakukan pemandu lelaki ketika menghantar bekalan bahan api itu ke tapak perlombongan.

Menurut Tewaih, syarikat terbabit mengalami kerugian mencecah AS$50,000 dan mempercayai pemandu wanita tidak melakukan perbuatan itu kerana mempunyai pemikiran berbeza dengan lelaki.

Buat masa ini, Zen Petroleum satu-satunya pelanggan Ladybird Logistics dan syarikat itu menghantar bekalan minyak di tiga laluan dengan yang paling jauh mengambil masa tujuh jam.

Justice Zoiku memberitahu AFP dia menyokong wanita menceburi bidang itu dan tidak akan menghalang sekiranya anak perempuannya mahu mengikut jejaknya sebagai pemandu trak.

“Apa lelaki mampu buat, wanita juga boleh melakukannya dengan lebih baik,” katanya.


ABIGAIL Asumadu-Amoah antara 21 pemandu wanita di Ladybird Logistics.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 10:37 AM