REKAAN penjual bertih jagung jadi perhatian hingga dia terkenal dan terima jolokan ‘pahlawan’ oleh netizen.
AFP

IMPIAN membina pesawat sendiri sejak kanak-kanak tidak pernah terpadam buat seorang penjual bertih jagung di Pakistan malah dia sanggup mengikat perut dan membelanjakan 500 paun (RM2,701) untuk kain karung dan beca bagi membinanya.

Muhammad Fayyaz, 32, yang turut bekerja sebagai pengawal keselamatan membina pesawatnya sendiri dengan mempelajarinya di televisyen dan cetakan biru dalam talian, lapor Daily Mail.

Pesawat itu dibina menggunakan bahan yang mungkin langsung tidak dapat dibayangkan seperti enjin pemotong jalan, sayapnya daripada burlap dan roda beca.

Kerja luar biasanya menarik perhatian pasukan tentera udara negara itu apabila wakilnya sudah beberapa kali melawatnya dan turut menyampaikan sijil penghargaan.

Pengunjung beramai-ramai melihat karya unik Fayyaz, ditempatkan di halaman rumah di Tabur wilayah Punjab.

Semasa kecil, Fayyaz bercita-cita menyertai angkatan tentera tetapi selepas bapanya meninggal dunia, dia terpaksa berhenti sekolah dan mula bekerja untuk menyara ibu serta lima adiknya.

Dia mendapat ilham selepas menonton National Geographic Channels Air Crash Investigation selain mempelajarinya daripada cetakan biru secara dalam talian sehingga membolehkan dia membina pesawat mini sendiri.


MUHAMMAD Fayyaz bersama keluarganya.

Hasil jualan tanah keluarga, Fayyaz berupaya meminjam 50,000 rupee (RM2,969) daripada bank-mikro NGO, namun dia masih berhutang sehingga sekarang.

Dia menggunakan dananya yang sedikit itu secara kreatif, membeli burlap secara borong dan memujuk seorang pekerja bengkel untuk membina kipas pesawat. Namun, membina kipas memerlukan banyak percubaan akibat kesilapan. Sesetengah peralatan perlu diganti, reka bentuk perlu diubah dan pendawaian perlu dibuat semula.

Akhirnya Fayyaz berjaya menghasilkan pesawat mini walaupun sangat kecil dan mungkin mudah relai, rapuh, yang diwarnakan biru terang. Dia bersedia menerbangkan pesawat mini itu pada Februari lalu, selepas lebih dua tahun dicemuh masyarakat.

Rakannya turut membantunya mengosongkan sebuah jalan kecil sebagai landasan ketika percubaan penerbangan pertama itu.

Pesawat itu mampu mencapai 120 kilometer sejam sebelum berlepas, akui Ameer Hussain yang mendakwa kelajuan pesawat itu kepada AFP.

“Ia naik antara dua dan dua setengah kaki dari tanah dan terbang kira-kira dua hingga tiga kilometer sebelum mendarat,” katanya.

Fayyaz memilih 23 Mac bersamaan Hari Pakistan untuk pelancaran.

Polis berkata ratusan orang berkumpul di sekeliling pesawat mini itu dengan memegang bendera negara.

Bagaimanapun, sebelum sempat menghidupkan enjin, polis tiba lalu menangkap dan merampas pesawatnya.


WAKIL tentera udara Pakistan melawatnya beberapa kali dan menyampaikan sijil kerana komitednya membina pesawat mini.

“Saya rasa seolah-olah sudah melakukan satu jenayah di dunia ini, umpama saya ini orang yang paling teruk di Pakistan. Saya dikurung bersama penjenayah,” katanya.

Mahkamah membebaskannya dengan denda 3,000 rupee (RM178).

Sewaktu AFP mengunjungi balai polis tempatan, pegawai berkata mereka menangkap Fayyaz kerana pesawatnya mengancam keselamatan.

Pegawai Zafar Iqbal menjelaskan: “Pesawat itu dikembalikan kepadanya sebagai tanda muhibah. Sekiranya dia mendapat lesen atau permit, dia bebas untuk menerbangkan pesawat itu”

Nasib Fayyaz berubah apabila dia dikenali ramai di media sosial, dan menerima jolokan ‘pahlawan’ dan ‘inspirasi’ oleh netizen.

Wakil Angkatan Udara Pakistan turut dua kali melawatnya untuk melihat pesawat itu lebih dekat malah komander di sebuah pangkalan berdekatan menyampaikan sijil yang memuji ‘semangat dan ketangkasannya’ kerana membina ‘pesawat mini’.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 10:27 AM