RESTORAN El Fishawy yang berusia 200 tahun sering menjadi lokasi pertemuan selebriti terkenal.
Agensi

SETIAP kali tiba Ramadan ribuan pelancong dari negara Arab berkunjung ke Mesir dan satu kawasan yang di tengah Kaherah adalah lokasi wajib dikunjungi penduduk serta pelawat asing.

Bermula selepas selesai solat sunat Tarawih, kawasan itu yang dikenali sebagai ‘Fatimid Kaherah’ tiba-tiba bertukar meriah dengan pelbagai aktiviti terutama restoran dan peniaga makanan.

Kebanyakan pemilik restoran mempamerkan puluhan jenis kekacang, manisan dan buah-buahan kering di depan premis mereka untuk menarik perhatian pelanggan.

Kanak-kanak pula menghias jalan di kawasan itu dengan tanglung kertas bertemakan Ramadan sekali gus menceriakan suasana.

Di kawasan itu terletaknya Masjid Al Azhar yang berusia lebih 1,000 tahun yang menjadi saksi keteguhan Islam dalam kalangan penduduk setempat.


SEBUAH gerai yang menjual pelbagai jenis kekacang dan manisan di Kaherah.

Sebuah pasar yang dikenali sebagai Khan el-Khalili pula menawarkan cenderamata istimewa seperti minyak wangi, rempah ratus, pakaian dan pelbagai perhiasan menarik.

Fatimid Kaherah juga popular dengan restorannya dan paling terkenal sebuah kafe berusia 200 tahun yang dikenali sebagai El Fishawy.

El Fishawy yang menyajikan hidangan tradisi Mesir dan suasana negara itu sering dikunjungi selebriti terkenal termasuk penyanyi, pelakon serta ahli politik.

Gabungan semua ciri itu sudah cukup menjadikan Fatimid Kaherah sebagai lokasi yang wajib dikunjungi kerana ia menonjolkan kegembiraan pada Ramadan.


RESTORAN El Fishawy yang menawarkan hidangan dan makanan tempatan Mesir.

Kedatangan pelancong ke Fatimid Kaherah dianggap rezeki oleh penduduk di kawasan berkenaan dan antara penyumbang utama sektor pelancongan di Mesir.

Selepas beberapa tahun dilanda krisis politik, Mesir kini kembali aman sekali gus menarik semula kedatangan pelancong ke negara itu.

Majoriti pelancong yang melawat Mesir adalah dari negara Arab yang kaya seperti Kuwait, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Kedatangan pelancong ke Mesir sangat penting kerana pelancongan antara sektor yang menyumbang kepada pendapatan negara itu.


SEBUAH kedai di kawasan pasar Khan el-Khalili.

PEMANDANGAN di sebatang jalan di Fatimid Kaherah ketika Ramadan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 10:17 AM