HASUMI dan Ibuki, masing-masing berusia 17 tahun membuat persembahan nyanyian di sekolah bakat Acopia.
Reuters

DEMI impian mengejar kemasyhuran sebagai bintang K-Pop terkenal, seorang remaja sanggup menangguhkan pelajarannya dan meninggalkan negara asal untuk terbang ke Korea Selatan.

Biarpun sedar laluan itu bukan mudah, Yuuka Hasumi, 17, tetap nekad menyertai Acopia School di Seoul, iaitu sebuah sekolah latihan seni untuk remaja Jepun mempelajari rentak tarian K-Pop, lagu serta bahasa Korea.

Dia seorang daripada sejuta remaja yang memasang cita-cita besar untuk menjadi bintang K-Pop dan berharap diberi peluang dalam sesi uji bakat dikendalikan beberapa agensi bakat yang hanya memilih beberapa calon sebagai ‘pelatih’.

“Ia memang susah namun dengan mengikuti latihan ketat dan meningkatkan kemahiran ke tahap lebih tinggi, saya rasa ia adalah waktu yang tepat untuk membuat kemunculan,” katanya yang mengikuti latihan tarian bersama seorang lagi remaja Jepun, Yuho Wakamatsu, 15.


WAKAMATSU, seorang daripada jutaan remaja Jepun yang ingin menempa nama dalam industri K-Pop.

Hasumi seorang daripada 500 remaja Jepun yang menyertai Acopia setiap tahun dengan yuran AS$3,000 (RM12,479) sebulan sebagai kos latihan dan penginapan.

Sekolah itu turut mengatur sesi uji bakat dengan syarikat pengurusan bakat yang menjadi tulang belakang utama di sebalik kemunculan gelombang budaya pop Korea Selatan dengan artis kegilaan ramai di seluruh dunia seperti kumpulan BTS.

Kebanjiran bakat dari Jepun yang mencorak industri K-Pop berlaku ketika ketegangan antara kedua-dua negara itu hingga merosakkan hubungan diplomatik.

Bagaimanapun, ia tidak menghakis kegilaan remaja Jepun terhadap muzik K-Pop dan kesanggupan agensi Korea mengambil bakat dari negara itu yang membuktikan kekuatan hubungan rakyat di dua negara berkenaan, kata seorang pemerhati.


NIITSU teliti memilih gambar profil yang akan digunakan untuk sesi uji bakat.

“Peminat terlalu tergila-gilakan BTS di Jepun,” kata ahli lembaga Forum Seoul-Tokyo, Lee Soo-Chul, iaitu sebuah yayasan swasta dianggotai diplomat dan eksekutif perniagaan dari dua negara.

Ini dibuktikan dengan populariti budaya pop Korea Selatan yang semakin berkembang di Jepun malah peminat dan artis juga tidak ambil kisah dengan apa yang berlaku terhadap ketegangan itu.

“Saya mungkin dikritik disebabkan saya orang Jepun tetapi saya ingin berdiri di pentas dan membuktikan kepada orang Korea Selatan

kami juga boleh menjadi hebat,” kata Rikuya Kawasaki, 16.

Pasaran muzik Jepun dianggap oleh sekolah dan agensi bakat itu sebagai pasaran kedua terbesar selepas Amerika Syarikat serta lebih besar berbanding China menyebabkan ramai mengadakan kempen untuk merekrut bakat dari negara matahari terbit itu.

“Ia akan menjadi lebih baik jika Jepun dan Korea Selatan bersatu menerusi muzik,” kata Hasumi.

Ada beberapa rakyat Jepun yang sudah menempa nama dalam industri K-Pop apabila kumpulan Twice dianggotai tiga penyanyi wanita Jepun sekali gus menjadi kumpulan kedua paling popular di negara itu selepas BTS.


HASUMI mempunyai impian untuk bergelar bintang K-Pop.

Kejayaan mereka mendorong sebuah agensi bakat JYP bekerjasama dengan Twice untuk melancarkan kumpulan bakat yang hanya terdiri daripada gadis Jepun.

Sehingga kini, Korea Selatan tidak pernah sunyi dengan kehadiran remaja Jepun yang menyimpan hasrat untuk bernaung di bawah agensi bakat hingga ada yang berjaya mengecap hidup glamor dan populariti bintang K-Pop.

“Ada juga terdengar cerita saya tidak akan mempunyai waktu lapang dan melakukan apa yang saya suka. Namun, bagi saya semua bintang K-Pop sedia ada menempuh laluan yang sama,” kata pelajar kolej dari Tokyo, Nao Niitsu, 19.

Niitsu yang juga peminat tegar BTS dikatakan sudah menyertai sesi uji bakat untuk 10 agensi dan diterima oleh lima daripada agensi berkenaan.

Miyu Takeuchi pula berkata, ia bukan satu keputusan sukar untuk meninggalkan kerjaya selama 10 tahun dengan kumpulan AKB48 di Jepun dan menandatangani kontrak dengan sebuah agensi K-Pop, Mystic Entertainment sebagai pelatih.

Walaupun berpengalaman, dia masih perlu mengikuti latihan vokal selama tujuh jam setiap hari, dua jam latihan tarian selama dua kali seminggu serta kelas Bahasa Korea.

Dia tidak dibenarkan mempunyai teman lelaki namun katanya dia tidak menyesal walaupun tidak ada jaminan akan berjaya menempuh laluan itu.

“Saya tidak tahu berapa lama perlu mengikuti latihan ini tetapi ia perlu dilakukan hingga jurulatih dan syarikat pengurusan memberitahu saya sudah menjadi seorang profesional,” katanya.


KUMPULAN paling popular, BTS mencuri tumpuan dunia ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 9:49 AM