PETUGAS pilihan raya menyusun kotak undi dan kertas undi di sebuah gudang di Jakarta.
AFP

PADA 17 April ini, negara demokrasi ketiga paling ramai di dunia akan mengadakan Pilihan Raya Presiden atau dikenali sebagai Pilpres dan Pilihan Raya Umum yang dikenali sebagai Pemilu secara serentak.

Sebelum ini Pilpres dan Pemilu diadakan secara berasingan, tetapi kali ini ia diadakan serentak sekali gus menjadi pilihan raya sehari paling rumit di dunia.

Pilihan raya itu membabitkan seramai 192 juta pengundi berdaftar, 800,000 pusat pengundian dan enam juta petugas pilihan raya.

Pada pilihan raya presiden, Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) akan cuba berkuasa untuk penggal kedua bersama calon naib presiden, Ma’ruf Amin.

Jokowi dicabar bekas jeneral tentera, Prabowo Subianto yang bergandingan Timbalan Datuk Bandar Jakarta, Sandiaga Uno.

Seramai 245,000 calon daripada 14 parti bertanding akan merebut lebih 20,000 kerusi di Dewan Perwakilan Rakyat, Dewan Perwakilan Daerah dan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah dan bandar di seluruh negara.

Semua itu sudah cukup untuk menggambarkan betapa mencabarnya proses demokrasi di Indonesia.


ACARA debat antara calon presiden yang bertanding dalam pilihan raya presiden.

Sebagai perbandingan, India yang juga negara demokrasi terbesar di dunia mengadakan pilihan raya umumnya secara berperingkat selama enam minggu pada April dan Mei ini.

Pilpres dan Pemilu bermula secara rasminya pada 23 September 2018 apabila calon-calon yang bertanding memulakan kempen mereka hingga 13 April ini sebelum tempoh bertenang selama dua hari.

Keputusan penuh rasmi pilihan raya berkenaan dijangka diketahui pada 6 Mei ini.

Walaupun berdepan isu logistik dan rasuah, Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) mempunyai rekod mengendalikan pilihan raya yang adil serta keputusan yang biasanya diterima ahli politik dan orang awam.

Rahsianya adalah proses pilihan raya yang unik di negara itu.


ANGGOTA polis antirusuhan di Aceh berbaris dalam satu latihan sebagai persediaan pilihan raya di negara itu.

Pengundi tidak memangkah calon pilihan mereka menggunakan pensel atau pen kerana boleh dipertikaikan sebaliknya mereka menggunakan satu paku untuk menebuk kertas undi.

Bagi mengelak pengundi mengundi dua kali, pegawai pilihan raya akan mencelup jari pengundi dalam dakwat kekal.

Tidak lama selepas pusat pengundian ditutup, pegawai akan mengira kertas undi secara terbuka dan mengangkat setiap kertas undi supaya orang ramai boleh melihat cahaya menembusi lubang yang ditebuk.

Proses terbuka ini membolehkan undian awal diumumkan pati politik atau pemerhati berdasarkan data yang dikutip di setiap pusat pengundian.


PENYOKONG berkumpul dalam satu perhimpunan politik yang berlangsung di Jakarta.

Undian awal biasanya terbukti menjadi petanda awal meramal keputusan rasmi pilihan raya.

Pada pilihan raya presiden pada 2014, KPU turut memuat naik keputusan kiraan di setiap pusat pengundian di laman sesawangnya membolehkan ia dikongsi secara meluas.

KPU mengambil masa hampir sebulan untuk menyelesaikan kiraan penuh dan mengumumkan keputusan rasmi.

Apabila keputusan rasmi diumumkan, pemantau boleh membandingkan dengan kiraan undian awal bagi melihat sama ada berlakunya sebarang manipulasi.


ANGGOTA polis antirusuhan di Aceh berbaris dalam satu latihan sebagai persediaan pilihan raya di negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 12:38 PM