Agensi

LELAKI Vietnam, Ho Van Lang, 44, adalah paparan kehidupan sebenar ‘Tarzan’ yang menghabiskan masa selama 41 tahun hidup terasing di dalam hutan namun perwatakannya berbeza berbanding Alexander Skarsgard, pelakon Sweden yang terkenal menerusi filem Tarzan.

Lang memiliki kemahiran luar biasa kerana berupaya membina rumah pokok, membuat peralatan memasak menggunakan bom tinggalan perang dan menangkap kelawar dengan pantas.

Sebahagian besar hidup Lang dihabiskan dalam hutan belantara Vietnam di daerah Tay Tra, wilayah Quang Ngai.

Bapanya, Ho Van Thanh, veteran tentera, membawa Lang melarikan diri ke dalam hutan susulan isteri dan dua anaknya maut dibom Amerika Syarikat ketika Perang Vietnam pada 1972.


LANG tidak mengenali dunia moden sebelum ditemui pada 2013.

Menurut News.com.au mereka membina rumah pokok, mendapatkan bekalan minuman dari sungai dan sumber hutan sebagai makanan termasuk buah, madu, daging monyet, ular, cicak, tikus serta katak.

Namun, menurut Telegraph, seorang lagi anak lelaki Thanh, Ho Van Tri terselamat dalam serangan bom itu.

Media melaporkan, Tri menghabiskan masa bertahun-tahun mencari mereka di dalam hutan sehingga berjaya menemui bapa dan abangnya.

Dia sering mengunjungi mereka namun bapanya tetap enggan keluar dari hutan.


SELAMA 41 tahun Lang dan bapanya (kiri) mendiami belantara di Vietnam.

Lang menghabiskan hidup dalam hutan bersama bapanya selama empat dekad sehinggalah mereka dilaporkan kepada pihak berkuasa dan dibawa keluar pada 2013. Ketika itu Lang sudah berusia 42 tahun manakala bapanya, 82 tahun.

Pengembara Sepanyol yang juga Pengarah Urusan Docastaway, Alvaro Cerezo, yang bertemu Lang dan keluarganya pada November 2015 berkata, bapa Lang mengalami ‘fobia mendalam untuk kembali bertamadun’ kerana tidak percaya Perang Vietnam sudah berakhir.

“Mereka selalu melarikan diri sekiranya ternampak manusia lain walaupun dari jarak jauh,” katanya.

Dalam dokumentari terbaharu, Cerezo membawa Lang menyelami masyarakat moden dan turut meyakinkan lelaki itu untuk kembali ke hutan selama beberapa hari serta mengajarnya teknik survival hutan.

Pengasingan Lang daripada kehidupan moden terbukti kritikal kerana dia tidak memahami bahasa Vietnam, tidak mempunyai konsep masa selain matahari dan tidak faham konsep tenaga elektrik.

Sehingga ditemui, Lang tidak pernah tahu kewujudan seseorang wanita kerana bapanya tidak pernah memberitahunya.

“Sehingga hari ini, walaupun lelaki dan wanita boleh dibezakan, dia masih tidak tahu perbezaan penting antara mereka.


CEREZO (kanan)bersama Lang.

“Saya dapat mengesahkan Lang tidak mempunyai keinginan seksual walaupun minimum,” kata Cerezo.

Tri, berkata Lang tidak memahami kebanyakan konsep asas sosial.

“Jika saya menyuruh Lang memukul seseorang, dia akan melakukannya bersungguh-sungguh.

“Dia tidak tahu membezakan antara baik dan buruk. Lang seperti kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa.

“Jika saya meminta Lang menikam seseorang dengan pisau, dia akan melakukannya tanpa berfikir,” katanya.

Di sebalik semua itu, Lang menganggap dunia moden agak ‘bising’ namun berasa kagum ketika dibawa menaiki kereta (menuju ke hospital selepas dia ditemui pertama kali) dan gembira melihat ‘haiwan bersahabat dengan orang’.

“Berbeza di hutan, haiwan sentiasa lari daripada saya,” katanya.

Menurut Cerezo, Lang kini menjalani kehidupan produktif dan menikmati kebebasannya, berbanding kehidupannya hampir seperti hamba bapanya ketika tinggal di dalam hutan.


SUMBER hutan sebagai makanan.

“Tahun pertama paling sukar baginya disebabkan masalah kesihatan akibat virus dan bakteria baharu kepada sistem badannya,” katanya.

Viet Nam News melaporkan, Cerezo turut membawa Lang ke sebuah pulau di Lautan Pasifik selama dua hari.

“Apabila mendarat di pulau itu, emosinya berubah sepenuhnya. Dia sangat gembira, bebas bergerak, hiperaktif dan menjelajah pulau itu sendirian.

“Buat kali pertama dalam hidupnya, dia menikmati air kelapa kerana di hutannya tidak terdapat pokok kelapa.

“Lang juga tidak tahu air laut masin sehinggalah cuba meminumnya.

“Dia tidak dapat tidur pada waktu malam kerana baginya pulau itu terapung dan akan tenggelam bila-bila masa,” kata Cerezo.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 12:40 PM