Agensi

BAGI memudahkan wanita hamil yang perlu berjalan lebih empat kilometer hanya untuk mendapatkan pemeriksaan berkala di pusat kesihatan, satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memperkenalkan basikal ambulans di Uganda.

Uganda, antara negara mempunyai kadar kematian ibu dan bayi ketika bersalin yang tinggi. Secara purata, 15 wanita mati setiap hari ketika melahirkan anak dan mengalami masalah berkaitan kehamilan.

Pemeriksaan berkala kehamilan penting bagi membolehkan doktor atau bidan mengesan masalah ketika hamil termasuk keadaan kedudukan bayi bagi mengelak masalah ketika bersalin.

Namun, di Uganda satu pusat kesihatan adalah untuk kawasan yang luasnya puluhan, mungkin ratusan kilometer persegi yang menyukarkan wanita hamil melakukan pemeriksaan berkenaan ditambah kekurangan pengangkutan.


SEORANG wanita menimbang berat bayinya di pusat Kesihatan Kibibi sambil diperhatikan jururawat, Joshua Musomba.

Pada akhir tahun lalu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) FABIO atau Pertubuhan Maklumat Basikal Afrika Pertama, memperkenalkan perkhidmatan basikal ambulans di dua pusat kesihatan utama di wilayah Kibibi.

Kemudahan itu pastinya meringankan beban penduduk di kawasan pedalaman yang sukar dilalui kenderaan besar untuk membawa pesakit ke pusat kesihatan.

Seorang wanita hamil dikenali sebagai Naigaga, sering menggunakan kemudahan basikal ambulans itu untuk pemeriksaan berkalanya.

“Sebagai wanita hamil, badan saya lemah. Mereka membawa kami ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan kemudian menghantar kami pulang,” katanya.


SEORANG wanita menimbang berat bayinya di pusat Kesihatan Kibibi sambil diperhatikan jururawat, Joshua Musomba.

Terdapat 121 daerah di Uganda mengalami masalah kekurangan perkhidmatan ambulans dan tidak sampai tujuh peratus pesakit berjaya dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

FABIO membangunkan kemudahan itu pada 2006 berikutan masalah kekurangan pengangkutan untuk digunakan penduduk.

Matlamat mereka untuk mencipta sesuatu yang mesra alam dan mudah diselenggara.

“Kami ingin mencipta sesuatu menggunakan cara lebih mampan atau murah bagi memudahkan orang ramai mendapat akses terhadap pusat kesihatan,” kata Pengarah Eksekutif FABIO, Katesi Najjiba.

Basikal ambulans itu dibina penduduk tempatan menggunakan sumber sedia ada selain mudah untuk mencari alat ganti.


NAIGAGA (kanan) mendapatkan nasihat kesihatan daripada bidan.

Namun, kadangkala pengangkutan terbabit sukar dikendalikan terutama apabila keadaan jalan yang berbukit-bukit.

“Ia agak mencabar bagi saya untuk mengayuh basikal mengambil pesakit di kawasan berbukit. Ia lebih mudah jika ada yang membantu menolaknya,” kata pengayuh basikal ambulans, Mukasa Harid.

Masalah itu terus diatasi apabila FABIO sedang dalam proses memperkenalkan skuter elektrik sebagai alternatif mengambil pesakit dari kawasan berbukit dan sukar dilalui.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 12:23 PM