KEBANYAKAN mayat pendaki sukar dibawa turun dari Gunung Everest.
Agensi

MAYAT kira-kira 300 pendaki yang terkorban ketika cuba menawan Gunung Everest didapati mula timbul dari salji berikutan cuaca panas.

Mayat berkenaan ditimbus salji sejak bertahun lalu, malah ada menjadi tanda lokasi kepada pendaki.

Bekas Presiden Persatuan Pendakian Nepal, Ang Tshering berkata, ais dan glasier cair di Gunung Everest mudah cair disebabkan pemanasan global.

Menurut Ang yang juga jurupandu sherpa, paling mencabar adalah membawa turun mayat dari ketinggian 8,700 meter berhampiran puncak.


MAYAT pendaki mula muncul disebabkan salji cair.

“Mayat itu beku sepenuhnya dan mencecah berat 150 kilogram. Agak sukar untuk membawa keluar mayat terbabit dari ketinggian itu,” katanya.

Menurut The Sun UK, mayat seorang pendaki yang terkorban ketika berteduh di celah batu dan dikelilingi silinder gas oksigen akhirnya diturunkan selepas kasut but hijau dipakainya menjadi tanda lokasi sejak beberapa tahun lalu.

Oleh sebab cuaca terlampau sejuk, mayat pendaki yang maut ketika cuba mencapai ke puncak gunung setinggi 8,848 meter itu masih dalam keadaan baik dan ada antaranya sudah beberapa dekad terkubur di sana.

BBC melaporkan, kira-kira 4,800 pendaki berjaya menawan puncak tertinggi di dunia dan sekitar 300 pendaki maut dengan dua pertiga daripadanya dipercayai masih tertanam dalam salji.


KIRA-KIRA300 pendaki maut di Gunung Everest.

Ketibaan musim bunga yang bermula dari 1 Mac hingga 31 Mei, memudahkan kerja membawa turun mayat pendaki dari kawasan gunung di China.

Kerja itu bukan mudah disebabkan sesetengah mayat hanya menampakkan sebahagian kaki atau tangan timbul dari salji.

Ada pendaki mempercayai pergerakan glasier Khumbu antara punca mayat berkenaan timbul dan kos membawa turun mayat dari Gunun Everest di antara 30,000 pound (RM159,760) hingga 61,000 pound (RM324,840).

Sementara itu, pendaki dan penulis Alan Arnette berpendapat kebanyakan pendaki memilih supaya jenazah mereka dibiarkan di kawasan gunung sekiranya tiba-tiba meninggal dunia.

Arnette turut berpendapat mengeluarkan mayat dari tempat semadi seolah-olah tidak menghormati si mati.


HAMPIR 5,000 pendaki berjaya menawan Gunung Everest.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 6:01 AM