Svalbard Global Seed Vault binaan Yayasan Bill and Melinda Gates.
Agensi

PENGASAS bersama Reddit yang juga ketua pengarah eksekutif, Steve Huffman, 35, mengambil keputusan melakukan pembedahan laser mata pada November 2015 untuk memperbaiki masalah rabun jauhnya.

Keputusan itu bukan kerana tujuan kosmetik, sebaliknya sebagai persediaan berdepan kemungkinan bencana pada satu hari nanti - sama ada bencana semula jadi atau akibat perbuatan manusia.

“Jika dunia atau tamadun berakhir, kaca mata serta kanta lekap pasti sukar didapati. Tanpanya, habislah saya jika penglihatan tidak sempurna.

“Saya lebih memikirkan apa yang perlu dilakukan untuk hidup selepas bencana berakhir. Jadi saya mempunyai beberapa motosikal, senjata dan peluru, makanan... Jika keadaan teruk sekurang-kurangnya saya boleh berlindung dalam rumah,” katanya dipetik The New Yorker.

Dia antara golongan ‘survivalist’ - mereka yang berazam meneruskan kehidupan sekiranya berlaku bencana besar termasuk perang yang menamatkan tamadun manusia.


OPPIDUM turut menyediakan bilik mesyuarat.

Namun jika survivalist tradisional dibayangkan sebagai orang yang menyimpan barangan dan makanan jauh dalam hutan malah juga mungkin sedikit ‘sewel’, sejak beberapa tahun kebelakangan ini kepercayaan itu merebak kepada golongan lebih berada di Silicon Valley serta New York.

Kini eksekutif teknologi, pengurus dana lindung nilai, malah ramai yang lain juga mula melihat ke arah ke kehidupan survivalist.

Antara pilihan mereka termasuk kubu bawah tanah yang dibina khas dan dilengkapi segala keperluan.


PERLINDUNGAN bawah tanah Atlas Shelters dibina di bawah kediaman biasa untuk kegunaan keluarga kecil.

Kompleks perlindungan terbesar, The Oppidum hartanah seluas 323,000 kaki persegi di sebuah lembah terpencil di Republik Czech yang jika dilihat dari udara tidak ubah seperti pusat pentadbiran besar.

Ia menyediakan kehidupan mewah bawah tanah dengan sistem keselamatan serta komunikasi hebat yang memastikan penghuninya tidak terputus dari dunia luar.


PINTU masuk ke satu lokasi perlindungan Atlas Shelters.

Menurut Forbes, ia mempunyai dua aras bawah tanah dan dilengkapi kemudahan seperti spa, panggung wayang, perpustakaan malah dimuatkan pencahayaan semula jadi yang disimulasikan. Kemudahan serta bekalan perubatan dan pembedahan turut disediakan.

Menara bawah tanah yang satu ketika dulu dijadikan tempat simpanan peluru berpandu Atlas turut diubah suai menjadi kondominium mewah bagi golongan ‘survivalist’ kaya.

Menurut laman webnya, hanya 72 struktur seperti itu dibina tentera bertujuan bertahan dalam srangan nuklear. Bahagian atas binaan itu mempunyai tembok konkrit dipertingkat setebal 2.7 meter dan mampu dihuni 75 orang untuk lebih lima tahun dalam keadaan darurat.

Namun tidak semua jutawan membuat persediaan untuk diri sendiri dan keluarga.

Yayasan Bill and Melinda Gates, contohnya membuat persediaan dengan membina Svalbard Global Seed Vault di Pulau Spitsbergen, Norway. Ia bilik kebal yang menyimpan hampir sejuta sampel benih untuk penyelidikan masa depan, atau bagi tujuan menghalang kepupusan spesies dunia terutama manusia.


PADA 2015, 4,000 spesies tumbuhan di simpan di Svalbard Global Seed Vault.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 5:30 AM