Projek AS$1.1 bilion dibina sejauh 16 kilometer bermula dari Hotel Indonesia ke selatan Jakarta.
AFP

IRNAWATI, 36, seorang penduduk Jakarta, mengakui terpaksa menghabiskan masa sehingga empat jam di atas jalan pada hari biasa semata-mata untuk ke tempat kerja - masalah biasa dihadapi 30 juta penduduk di kota itu yang menempuh kesesakan teruk pada setiap hari.

Bagaimanapun, landskap pengangkutan awam di Indonesia kini dinaik taraf menerusi perkhidmatan tren Transit Aliran Massa (MRT) yang baru beroperasi secara rasmi.

Bagi Irnawati, pengangkutan baru itu membolehkannya berulang-alik dari rumah di pinggir Jakarta ke tempat kerja dengan mudah tanpa perlu menempuh perjalanan memenatkan di atas jalan.


KEADAAN di sebuah stesen MRT.

“Ia akan menjimatkan banyak masa saya untuk bergerak dari rumah ke pejabat dengan selamat,” katanya.

Sejak beberapa dekad lalu, pendapatan isi rumah di negara yang mempunyai 260 juta penduduk itu dilaporkan meningkat.

Ia menyebabkan golongan kelas pertengahan berkembang sekali gus menyumbang kepada pertambahan pemilikan kenderaan, menyebabkan situasi trafik di bandar Jakarta semakin parah.

Langkah yang diambil oleh kerajaan dalam memperkenalkan sistem pengangkutan terbaharu itu sememangnya ditunggu-tunggu oleh penduduk yang menanti enam tahun sebelum ia siap dibina oleh syarikat Jepun.


PENGANGKUTAN MRT dijangka mengurangkan kesesakan teruk di Jakarta

Projek bernilai AS$1.1 bilion (RM4.47 bilion) itu dibina sejauh 16 kilometer yang bermula dari Hotel Indonesia ke selatan Jakarta.

Pembinaan bagi laluan kedua perkhidmatan itu pula sudah pun bermula dan ia dijangka siap sekitar 2024.

Penganalisis pengangkutan awam Universiti Soegijapranata, Djoko Setijowarno berkata, Jakarta mungkin akan menjadi sebuah bandar raya seperti Paris sebaik projek laluan kedua itu siap apabila penduduk tidak perlu mengeluarkan kos tinggi untuk menggunakan pengangkutan awam.

“Untuk merealisasikan perkara ini, semua pengangkutan awam perlu disepadukan dengan kawasan kediaman,”

katanya.


PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi mencuba pengangkutan baru yang dilihat akan menyumbang kepada pertumbuhan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 10:44 AM