BEBERAPA pelakon tambahan melakonkan babak perang dengan latar belakang skrin hijau gergasi.
Agensi

KERANA kecewa dengan perniagaannya yang tidak berkembang di selatan China, Lu Qi mengambil keputusan mengembara hampir 1,000 kilometer ke sebuah studio filem terbesar di negara itu untuk mengejar impiannya menjadi pelakon.

Lu antara 6,000 pekerja yang menyara hidup sebagai pelakon tambahan di Hengdian World Studios di bandar Hengdian, utara China.

“Saya banyak kali gagal dalam perniagaan dan langsung tidak menunjukkan kemajuan,” kata Lu yang mencukur kepalanya dan memakai topi untuk memanaskan badan.

Pemuda berusia 24 tahun itu berkata, kebanyakan yang berada di situ tiada ijazah, kemahiran atau hubungan.


SEBAHAGIAN pelakon tambahan bersedia untuk melakonkan watak mereka di satu set penggambaran di Hengdian World Studios.

“Kami juga tidak boleh berniaga. Kami berada di sini untuk melarikan diri dari realiti,” kata

Hengdian yang terletak di timur wilayah Zhejiang, sebelum ini adalah sebuah bandar miskin yang dikelilingi bukit.

Pada pertengahan 1990-an, sebuah firma pelaburan, Hengdian Group mengembangkan perniagaan mereka dengan menceburi bidang perfileman.

Syarikat itu meratakan bukit dan membina studio raksasa yang kini dianggap sebagai tempat penggambaran filem terbesar di dunia.

Kadangkala ia digelar sebagai Hollywood Timur atau Chinawood, media tempatan melaporkan lebih 70 peratus filem dan rancangan televisyen di China dirakamkan di kemudahan seluas 330 hektar itu.

Studio itu menempatkan set yang terdiri daripada kompleks istana purba dan rumah agam hinggalah ke skrin hijau gergasi.


PEMANDANGAN sebuah kompleks istana purba yang terdapat di Hengdian World Studios.

“Kamu boleh habis melawat Beijing dan Hong Kong dalam satu hari saja,” kata seorang pemandu pelancong, Wu Rongrong sambil berdiri di depan replika Istana Larangan dan satu jalan lama Hong Kong lengkap dengan kedai candu.

Studio itu pernah muncul dalam filem pecah panggung China seperti Hero (2002) dan pelakon terkenal seperti Jackie Chan dan Fan Bingbing pernah berlakon di situ.

“Pada mulanya kami mengambil penduduk tempatan sebagai pelakon tambahan tetapi kini majoriti pekerja adalah orang luar,” kata pengurus pelakon, Zhou Fenglai.


KEBANYAKAN pelakon tambahan beraksi sebagai askar seperti babak perang ketika era zaman Maharaja China.

Dianggarkan kira-kira 6,000 hingga 8,000 bekerja sebagai pelakon tambahan pada setiap hari di studio itu.

Lian Chunyu membesar dengan menunggang kuda di tanah lapang di wilayah Mongolia sebelum berhijrah ke Hengdian untuk menjadi pelakon lagak ngeri.

Walaupun wajahnya tidak pernah kelihatan dalam filem, Lian tetap teruja dengan pekerjaannya itu.

“Mungkin sukar untuk saya melakukan pekerjaan lain selepas ini,” katanya.

Lu dan Lian memperoleh pendapatan kira-kira 100 yuan (RM60) hingga 200 yuan (RM120) sehari, cukup untuk membayar sewa rumah dan makanan, manakala pelakon yang berpengalaman boleh mendapat bayaran sedikit tinggi.

Pelakon tambahan lelaki juga diberi 40 yuan untuk mencukur rambut mereka supaya sesuai dengan watak zaman dinasti Manchu.

Bagaimanapun, bagi Lu dia tidak berminat dengan watak tentera yang memerlukannya memakai baju perisai yang berat.

“Sangat tidak selesa berlari di kawasan gunung dengan memakai baju perisai dan diletupkan,” katanya.


PELAKON tambahan yang memakai pakaian era zaman Maharaja China ketika penggambaran filem di Hengdian World Studios.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 10:24 AM