BERKONGSI satu badan tidak menghalang mereka untuk terus hidup.
ABBY, Brittany harap mereka ditemukan dengan seseorang, berkahwin dan mempunyai anak
Agensi

UNTUK hebat dalam sukan, berjaya dalam pelajaran dan memperoleh lesen memandu memerlukan kerja keras bagi sesiapa saja. Namun, sekiranya berkongsi badan dengan orang, jauh lebih banyak rintangan perlu dihadapi dan usaha berlipat ganda untuk memastikannya berjaya.

Bagi pasangan kembar Hensel, itu bukanlah pilihan kerana mereka tidak berpeluang menikmati apa yang orang lain tempuhi namun tidak pernah mengalah, lapor Knowable.com.

Abigail Loraine Hensel dan Brittany Lee Hensel dilahirkan sebagai kembar ‘dicephalic parapagus’ pada 7 Mac 1990 di Carver County, Minnesota, Amerika Syarikat.

Kelahiran kembar perempuan itu mengejutkan ramai terutama ahli keluarga kerana sewaktu imbasan ultrabunyi hanya seorang bayi muncul.


MEMANDU memerlukan kerjasama kedua-duanya.

Kembar berkenaan, masing-masing mengawal separuh badan bagi memudahkan mereka mengendalikan pergerakan tangan dan kaki.

Ini bermakna ketika bayi, pembelajaran awal proses fizikal (seperti menepuk ta­ngan, merangkak dan berjalan) memerlukan kerjasama kedua-duanya. Aktiviti yang tidak memerlukan kolaborasi seperti makan dan menulis, boleh dilakukan secara berasingan.

Abigail atau nama singkat­nya, Abby dan Brittany mempunyai peluang satu dalam 30 juta untuk bertahan 24 jam. Nyawa mereka bergantung kepada konfigurasi organ mereka. Malah, mereka satu-satunya kembar sejenisnya yang masih hidup sehingga ke hari ini.

Menurut Wikipedia, kembar itu berkongsi satu badan dengan kepala dan leher berasingan, kedudukan dada lebih luas daripada biasa, dua lengan, dan dua kaki.

Kaki Brittany sebenarnya hampir dua inci lebih pendek daripada Abby dan dia cenderung untuk berdiri serta berjalan menggunukan hujung jari kaki yang menyebabkan otot betisnya jauh lebih besar daripada Abby. Pertumbuhan berterusan tulang belakang Abby sudah dibetulkan selepas Brittany berhenti secara matang.


ABBY (kiri) dan Brittany bersama rakan yang sering beri sokongan.

Ketinggian mereka juga tidak sama dengan Abby setinggi 1.57 meter berbanding Brittany yang hanya 1.47 meter.

Pada usia 12 tahun, mereka menjalani pembedahan di Gillette Children’s Specialty Healthcare untuk membetulkan skoliosis dan mengembangkan rongga dada mereka bagi mengelakkan kesukaran masa depan dengan pernafasan.

Kembar berkenaan tidak melepaskan peluang belajar berenang, menunggang basikal malah menjalani kehidupan sosial secara aktif.

Koordinasi untuk melakukan sesuatu memerlukan daya juang tinggi. Bagaimanapun, mereka bekerjasama secara intuitif, sehingga membolehkan mereka menunggang motosikal dan memandu kereta.

Mereka terpaksa mengambil ujian memandu dua kali, sekali untuk setiap kembar. Abby mengawal peranti di sebelah kanan kerusi pemandu, begitu juga Brittany di bahagian kiri namun kedua-duanya mengawal stereng bersama-sama.


ABBY (kiri) dan Brittany bersama rakan yang sering beri sokongan.

Kembar berkenaan mempunyai personaliti jelas, malah lebih menarik lagi mahu dilihat sebagai dua individu berbeza. Sebagai contoh, mereka mempunyai pakaian dengan dua garis leher berasingan bagi menekankan keperibadian masing-masing. Abby bagus dalam Matematik manakala Brittany cemerlang penulisannya.

Sebahagian besar masa mereka diisi dengan membalas e-mel bersama-sama, meluahkan perasaan dengan komunikasi lisan antara mereka. Sekiranya bersetuju dengan sesuatu perkara, mereka membahasakan diri sebagai ‘saya’ tetapi menggunakan nama masing-masing jika wujud perbezaan pendapat.

Pada 2012, mereka lulus dari Universiti Bethel di Arden Hills, Minnesota. Kali terakhir bercakap dengan media, Abby dan Brittany berharap mereka ditemukan dengan seseorang, berkahwin dan mempunyai anak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 12:53 PM