Agensi

SEBUAH bas berwarna biru dilihat berhenti di tepi jalan di pinggir ibu kota Afghanistan, Kabul.

Sebaik pintunya dibuka, beberapa kanak-kanak kelihatan gembira menaiki kenderaan itu lalu mengambil buku kegemaran masing-masing sebelum mengambil tempat di suatu sudut untuk mengetahui pengembaraan adiwira, kebijaksanaan dan kebaikan dalam sebuah cerita dongeng.

Perpustakaan mudah alih berkenaan diperkenalkan menerusi Projek Charmaghaz yang bermula pada Februari tahun lalu dan bakal diperluaskan sebagai manfaat kepada kanak-kanak di sekitar bandar itu.

Bas berkenaan melawat empat kawasan komuniti di seluruh Kabul setiap hari selama dua jam.

Pengasas Projek Charmaghaz, Freshta Karim, 26, berkata, matlamat utama perpustakaan bergerak itu untuk mempromosikan pemikiran kritikal tidak diperkenalkan dalam sistem pendidikan atau masyarakat.


LAPAN sukarelawan ini tidak jemu menyampaikan ilmu demi menjayakan Projek Charmaghaz.

“Apabila kanak-kanak berkenaan membaca cerita yang kisahnya dari seluruh dunia dan melihat pelbagai isu melalui pengalaman orang lain, mereka akan belajar berfikir secara kritis dan menyedari potensi diri.

“Sudah setahun sejak kami mula cuba merealisasikan impian kanak-kanak ini dan sedar mereka sangat bersemangat, mempunyai banyak tenaga serta dahagakan ilmu pengetahuan.

“Mereka berhak mendapat manfaat pelaburan. Pendidikan adalah antara bidang pelaburan yang diperlukan kerana ia adalah bagaimana untuk kami mengubah negara ini,” katanya.


PADA mulanya, ibu bapa ragu-ragu untuk menghantar anak mereka, tetapi kini mereka memahami nilai dan keperluan perpustakaan bergerak berkenaan.

LEBIH 40,000 lawatan sudah didaftarkan di perpustakaan bergerak ini sejak ia beroperasi pada 2018.

KEWUJUDANNYA beri banyak manfaat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 12:17 PM