TIANG unik yang menghiasi ruang solat.
Agensi

DENGAN ciri binaan berkonsep hijau, sebuah masjid baru di Cambridge, United Kingdom bakal melakar landskap baru di bandar berkenaan sebagai tempat ibadat paling ikonik bagi umat Islam di sana.

Projek bernilai 23 juta pound (RM124 juta) yang hampir siap dibina itu berupaya memuatkan 1,000 jemaah dan lengkap dengan kemudahan 82 lot parkir bawah tanah selain dapat menempatkan 300 basikal.

Bilangan umat Islam yang semakin berkembang di bandar yang dikenali sebagai bandar global itu menyebabkan kemudahan masjid sedia ada sudah tidak dapat menampung keperluan sekali gus mendorong pembinaan masjid indah terbabit.


KAWASAN parkir yang memberi kemudahan kepada jemaah.

Seluruh binaan masjid itu direka oleh seorang arkitek Yahudi, David Marks bersama isterinya, Julia Barfield yang juga bertanggungjawab membuat rekaan roda feris, London Eye.

Pengerusi lembaga amanah, Dr Tim Winter yang memeluk Islam sejak lebih empat dekad lalu berkata, matlamat pembinaan masjid baru itu amat mudah, iaitu menyediakan akses pusat ibadat kepada umat Islam tanpa mengutamakan mana-mana etnik tertentu.

“Masjid ini hanya mampu memuatkan 1,000 jemaah. Kita tidak mahu mengkhususkan masjid ini untuk golongan tertentu atau mana-mana etnik sebaliknya ia dibuka kepada semua.

“Saya mempunyai latar belakang pendidikan dalam seni binaan jadi ia turut menjadi tanggungjawab memastikan projek ini berjalan lancar.

“Bagaimanapun, Cambridge dianggap masih tertinggal jauh di belakang berbanding Oxford yang sudah mempunyai empat masjid. Komuniti Islam di sini semakin berkembang dan harga hartanah terlalu mahal menyebabkan agak sukar untuk mencari lokasi sesuai di kawasan perumahan,” katanya yang juga pensyarah Pengajian Islam di University Cambridge.


WINTER meninjau proses akhir pembinaan masjid sebelum pembukaan rasmi.

Baru-baru ini, Cambridge Independent diberi peluang untuk meninjau sendiri keindahan masjid berkenaan yang bakal menjadi mercu tanda di bandar itu.

Apa yang menjadi tarikan utama di masjid itu ialah kehalusan seni binanya yang memukau pandangan sebaik saja melangkah masuk ke dalam bangunan itu.

Susunan tiang kayu yang diimport khas dari Switzerland dalam ruang solat membawa keunikan dan menyegarkan mata untuk umat Islam menunaikan ibadat.

Selain itu, kawasan masjid turut dilengkapi sebuah taman hijau untuk mengalu-alukan kedatangan pengunjung khususnya komuniti setempat di pintu masuk utama.

Beberapa kemudahan lain seperti kafe, bilik mesyuarat, ruang mengajar, pejabat dan bilik imam menjadi pelengkap masjid berkenaan.


KAYU yang diimport dari Switzerland melalui proses imbasan untuk mengesan sebarang kecacatan.

Kelengkapan yang ditempatkan di ruang bawah bangunan berfungsi untuk membantu sistem pengurusan sisa dengan menghasilkan air kitar semula, dengan matlamat mewujudkan sebuah masjid konsep hijau yang bertaraf dunia.

Winter berkata, taman hijau itu diwujudkan dengan sumbangan derma kepada Cambridge dan boleh digunakan orang ramai pada bila-bila masa.

“Mereka juga boleh menggunakan kemudahan kafe dan kami di sini mempunyai konsep secara terbuka supaya setiap individu itu berasa mereka mempunyai kepentingan di dalam masjid ini.

“Komuniti tempatan bersama kita sejak awal lagi dan mereka tahu Cambridge memerlukan sesuatu seperti ini. Tiang kayu dalam ruang solat adalah kali pertama digunakan dalam skala besar di negara ini.


KONTRAKTOR memasang hiasan dinding.

“Setiap satunya melalui proses imbasan bagi membolehkan pengeluar memeriksa sama ada terdapat kecacatan pada kayu. Ia juga bersifat kalis api,” katanya.-Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 5:30 AM