KATA Kolok berkembang dan sering ditambah dengan isyarat baru. FOTO Agensi
Agensi

TANPA telinga yang dapat mendengar, dunia mereka mungkin dianggap sunyi sepi apabila hanya mampu berhubung dengan isyarat tangan.

Namun, ia berbeza dengan kehidupan komuniti cacat pendengaran di sebuah perkampungan kecil, Bengkala yang dianggap sebagai nadi utama menghidupkan suasana, malah mereka disifatkan sebagai orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu paling bertuah kerana berpeluang membesar di situ.

Walaupun mungkin ada 3,000 penduduk di situ, hubungan mereka jauh lebih akrab, semuanya kerana satu bahasa isyarat unik yang menjadi pengantar dalam kalangan mereka.

Menurut BBC News, ia terlalu istimewa kerana tidak ada mana-mana manusia

di dunia ini yang menggunakan bahasa isyarat dipanggil sebagai ‘Kata Kolok’ (bahasa pekak) itu kecuali penduduk di Bengkala memandangkan ia dicipta sendiri dan berkembang di situ sejak enam generasi lalu.

OKU cacat pendengaran digelar sebagai ‘kolok’ manakala orang normal pula digelar ‘enget’ dan kedua-duanya dikatakan langsung tiada masalah untuk bergaul memandangkan sebahagian besar penduduk juga mahir menggunakan bahasa isyarat itu untuk berkomunikasi setiap hari.

Sejarah penduduk di situ mempunyai latar belakang yang agak luar biasa apabila sebahagian besar dilahirkan cacat pendengaran dan punca keadaan itu sering dikaitkan dengan sumpahan.


KOMUNITI Bengkala sering mencari pekerjaan sebagai pengawal keselamatan dan penggali kubur kerana dikenali dengan sikap berani. FOTO Agensi

Bagaimanapun, sekumpulan saintis berjaya mencari sebab kepada masalah itu yang berpunca daripada masalah genetik, menyebabkan satu dalam 50 kelahiran dilahirkan mengalami masalah cacat pendengaran.

“Jika takdir anda dilahirkan pekak, ini tempat yang terbaik untuk membesar!” kata jurucakap Pertubuhan Pekak Bengkala, I Ketut Kanta.

Isyarat tangan digunakan tidak rumit untuk difahami antaranya isyarat menunjukkan jari telunjuk bermaksud ‘lelaki’ dan ‘bapa’ juga menggunakan jari sama dengan membuat isyarat seperti misai.

Selain itu, ‘dahaga’ hanya menggunakan isyarat tangan mengurut tekak manakala ‘kopi’ pula diberi isyarat menggunakan jari bersilang di atas dahi iaitu isyarat sama digunakan untuk menggambarkan orang gila di Barat.

Kebanyakan kolok di Bengkala menyara hidup dengan melakukan pekerjaan bertani atau buruh selain diupah penduduk kampung bekerja sebagai pengawal keselamatan serta penggali kubur.

I Ketut Kanta berkata, dia tidak menafikan peluang pekerjaan yang ada di kampung itu agak terhad namun mereka tiada pilihan dan tetap perlu meneruskan kehidupan.

“Bayaran upah kerja untuk kolok dan enget adalah sama. Bagaimanapun, ia bukan mudah untuk OKU pekak mencari pekerjaan di luar kampung dan kadangkala agak sukar untuk hidup di sini kerana kadar upah agak rendah iaitu AS$5 (RM20) sehari,” katanya.


KEBANYAKAN penduduk normal di Bengkala mempelajari Kata Kolok untuk berkomunikasi dengan keluarga dan rakan. FOTO Agensi

I Ketut Kanta mengajar Kata Kolok secara percuma kepada kanak-kanak dengan bantuan seorang penyelidik warga Belanda, Connie de Vos yang melobi supaya memasukkan kanak-kanak kolok dalam sistem pendidikan biasa selain menyediakan pendidikan Kata Kolok kepada kanak-kanak biasa.

OKU warga emas, Kolok Getar, 78, yang pernah dikenali dengan kemahirannya dalam seni mempertahankan diri di Bengkala satu ketika dulu, berasa cukup bernasib baik sekiranya ada yang ingin mengupahnya menggali kubur.

Mengimbau kehidupan Kolok Getar, anak saudaranya, Wisnu berkata: “Dia dulu sangat kuat dan terkenal sebagai pakar seni mempertahankan diri. Dia boleh membelah kelapa hanya menggunakan tangannya.

“Ketika muda, dia mencari rezeki dengan melakukan demonstrasi seni mempertahankan diri di seluruh pulau. Walaupun bertemu ramai OKU cacat pendengaran, namun dia sukar berkomunikasi kerana bahasa isyarat digunakan berbeza dengan di Bengkala.”

Keunikan Kata Kolok juga menarik perhatian pakar bahasa kerana ia begitu berbeza dengan bahasa isyarat lain.

“Kata Kolok mempunyai sedikit pengaruh sama ada daripada bahasa Indonesia atau Bali mahupun mana-mana bahasa isyarat di luar kampung ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 12:41 PM