SEEKOR ikan laga siam yang dipamerkan di Galeri Ikan Laga Siam di Samut Prakhan.
AFP

IKAN laga siam yang berbadan kecil, lincah dan mempunyai warna sirip yang menarik kini diisytiharkan sebagai haiwan air kebangsaan Thailand.

Turut dikenali sebagai ikan betta, haiwan yang mempunyai ekor yang besar ini kini menjadi antara haiwan peliharaan popular di rumah.

Kerajaan Thailand dalam satu kenyataan memberitahu, Kabinet meluluskan satu cadangan untuk menjadikan ikan laga sebagai ikan kebangsaan kerana mempunyai nilai sejarah serta budaya kepada negara itu.

Tambah kenyataan itu, ikan laga berkenaan mengimbau nostalgia golongan tua yang membesar dengan membela haiwan itu.

Golongan berkenaan pasti mengimbau kenangan zaman kanak-kanak dan keriangan melihat ikan yang dipelihara mereka berlaga.

“Kebanyakan orang Thai ketika muda terutama di kawasan kampung, mereka akan menangkap ikan laga di terusan atau kolam,” kata penjaga Galeri Ikan Laga Siam, Sakda Sihapat di Samut Prakhan kepada AFP.

Galeri itu terletak kira-kira 15 minit dari Bangkok dengan menyeberangi sungai Chao Phraya yang dipercayai antara habitat asal ikan laga.


SEORANG pengunjung merakamkan gambar ikan laga.

Bagaimanapun, keba-nyakan sungai dan kolam di Thailand berubah sejak beberapa tahun akibat pembangunan komersial dan pertanian, menyebab-kan banyak ikan tempatan pupus.

Kanak-kanak kini ha-nya menemui ikan laga di kedai haiwan kesayangan atau akuarium.

“Kamu perlu pergi ke paya yang tidak diganggu manusia untuk menemui ikan ini tetapi paya seperti itu sukar ditemui,” ujar Sakda.

Haiwan kebangsaan Thailand secara rasminya adalah gajah.


SEORANG pelancong bergambar di depan pintu masuk di Galeri Ikan Laga Siam di Samut Prakhan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 11:52 AM