GAMBAR dari udara Chicago menunjukkan ais memenuhi Tasik Michigan.
Agensi

PENDUDUK di sekitar kawasan Midwest Amerika Syarikat (AS) iaitu dari utara ke barat negara berkenaan, tidak membiarkan cuaca sejuk melampau akibat vorteks kutub yang melanda sejak minggu lalu, sebaliknya masih sempat berseloroh mengenai keadaan itu dengan pelbagai gambar kreatif tersebar di media sosial.

Gambar berkenaan dikongsikan anggota polis yang meredah cuaca sejuk demi menjalankan tugas, selain penduduk yang memilih membekukan pakaian mereka untuk membentuk pelbagai gaya.

SEBUAH keluarga mengambil gambar lima seluar jean yang beku di depan rumah mereka.

Sebuah keluarga di Minnesota mengambil gambar lima pasang seluar jean yang ‘didirikan’ beku di luar kediaman mereka. Malah seorang pemilik akademi seni mempertahankan diri turut memuat naik gambarnya ‘berlawan’ dengan seragam karate yang beku.

Selain itu, anggota polis dari Pejabat Syerif Daerah Danes memuat naik gambar mi segera mereka yang beku dengan garfu turut tersangkut di dalamnya ketika cuba memakannya di luar bangunan.

Seorang lelaki mendakwa cuaca begitu sejuk dalam rumahnya sehingga air dalam tandasnya beku.

SEORANG wanita kongsikan video dengan rambut tercacak akibat tidak dikeringkan sebelum dia keluar rumah.

Seorang wanita di Iowa memuat naik video menunjukkan rambutnya seolah-olah antigraviti apabila beku selepas dia keluar tanpa mengeringkannya terlebih dulu.

Dalam pada mereka berjenaka, vorteks kutub itu turut meragut nyawa dengan sekurang-kurangnya 13 orang maut manakala puluhan juta lagi terjejas akibat suhu di bawah paras beku termasuk Illinois serta Iowa mencapai sehingga -38 Celsius.

Lebih 2,300 penerbangan dibatalkan dan 1,500 lagi ditangguhkan.

DUA nelayan mengikat bot mereka yang diselaputi ais di Massachusetts.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 10:58 AM