SEORANG wanita mengundi dalam pungutan suara di pusat pengundian Sultan Kudarat, Maguindanao. FOTO Agensi
Agensi

SELEPAS hampir 50 tahun konflik berlarutan dengan ribuan nyawa menjadi korban, akhirnya lebih dua juta penduduk di Mindanao, selatan Filipina yang majoritinya beragama Islam membuang undi dalam pungutan suara bagi mewujudkan wilayah autonomi baru dikenali sebagai Bangsamoro.

Pungutan suara penting itu diadakan selepas enam tahun perjanjian damai bersejarah yang menamatkan peperangan antara kerajaan Filipina dengan kumpulan pemisah utama di Mindanao, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

Ia diadakan enam bulan selepas Presiden Rodrigo Duterte menandatangani Rang Undang-Undang Tubuh Bangsamoro.

Sekiranya diluluskan, entiti politik baru itu akan menggantikan Rantau Autonomi Islam Mindanao (ARMM) yang lebih kecil dan diwujudkan sebagai uji kaji awal sebelum menyerahkan kuasa autonomi politik kepada penduduk beragama Islam yang kebanyakannya daripada etnik Tausug.

ARMM secara keseluruhannya dianggap sebagai satu kegagalan terutama sekali akibat salah urus tadbir, rasuah berleluasa dan meminggirkan beberapa wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam.

KEADAAN bandar Marawi yang musnah akibat perang selepas ia ditawan militan Daish. FOTO Agensi

Bagaimanapun, Manila dan MILF berharap wilayah yang baru itu lebih bersifat menyeluruh, berdaya tahan dan mempunyai pentadbiran yang cekap berbanding entiti sebelum ini.

Fasa pertama pungutan suara itu diadakan pada 21 Januari lalu merangkumi bandar Cotabato dan Isabela dan fasa kedua pula diadakan pada 6 Februari ini merangkumi Lanao del Norte, Cotabato Utara serta wilayah lain yang meminta menjadi sebahagian Bangsamoro.

Keputusan pungutan suara fasa pertama menyaksikan 85 peratus penduduk mahu menyertai Bangsamoro dan pilihan raya berkenaan juga dianggap pemerhati antarabangsa sebagai boleh dipercayai.

Sebagai presiden pertama berasal dari Mindanao, Duterte menjadikan penubuhan Bangsamoro antara tumpuan utama pentadbirannya.

Tidak seperti presiden sebelum ini dan pemimpin lain, Duterte berusaha keras untuk memastikan golongan politik elit yang didominasi pemimpin Kristian meluluskan Rang Undang-Undang Tubuh Bangsamoro yang tertangguh di Kongres selama beberapa tahun.

Selama ratusan tahun, penduduk Islam Moro menjadi mangsa diskriminasi di negara majoritinya beragama Kristian berpunca daripada pengaruh kuat penjajahan Sepanyol yang terkenal dengan sifat prejudis terhadap Islam.

BARISAN Pembebasan Islam Moro adalah kumpulan pemisah terbesar di Mindanao. FOTO Agensi

Dianggap sebagai satu keberanian politik, Duterte yang beragama Kristian menjadikan proses damai di Mindanao sebagai kempen pilihan rayanya.

“Sekiranya saya menjadi presiden, sekiranya Allah memberi rahmat sebelum saya mati, kerana saya sudah tua, saya akan tinggalkan kepada kamu Mindanao yang ditadbir dengan aman,” janji Duterte.

Pada tahun kedua berkuasa, Duterte meyakinkan Kongres untuk meluluskan Undang-Undang Tubuh Bangsamoro yang memberikan autonomi politik dan sosial budaya termasuk menubuhkan mahkamah syariah.

Lebih penting, Duterte memastikan sumber mencukupi termasuk satu perlima daripada pendapatan dalaman negara dikhaskan untuk membantu pembinaan institusi dan proses peralihan politik.

MILF juga secara berterusan menerima tadbir urus moden dan mempersiapkan pemimpin terbaik serta bijak mereka dengan harapan dapat mengelak daripada melakukan kesilapan seperti ARMM.

Bagaimanapun, Duterte dan bakal pemimpin Bangsamoro masih berdepan tugas yang mencabar.

DUTERTE (dua dari kiri) menyerahkan dokumen Rang Undang-Undang Penubuhan Bangsamoro kepada wakil MILF, Murad Ebrahim pada Ogos 2018. FOTO Agensi

Sejurus saja wilayah itu ditubuhkan mereka perlu menangani masalah yang sudah berakar umbi dan kompleks termasuk kadar kemiskinan yang tinggi, membangunkan semula bandar musnah akibat peperangan seperti Marawi dan ancaman kumpulan militan yang menyokong Daish.

Satu lagi yang menjadi kebimbangan adalah kumpulan minoriti beragama Kristian daripada menjadi mangsa pelampau agama.

Terdapat kebimbangan Bangsamoro menguatkuasakan undang-undang Islam yang ketat seperti di wilayah Aceh yang mendapat kuasa autonomi dari Indonesia.

Campur tangan oleh Mahkamah Agung juga satu ancaman selepas mengisytiharkan perjanjian damai sebelum ini sebagai melanggar perlembagaan dengan alasan ia bertentangan dengan integriti wilayah dan asas demokrasi.

Namun apa yang jelas, orang Moro mengambil langkah bersejarah ke arah menentukan nasib sendiri dan mungkin keamanan yang berkekalan diharap menjadi titik tolak tamatnya sejarah hitam di Mindanao.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 10:18 AM