Agensi

DUNIA ini penuh dengan tempat pelik dan menakjubkan tetapi sebuah pulau terpencil di Yaman dianggap seperti sebuah planet asing kerana mempunyai landskap sangat luar biasa yang tidak terdapat di mana-mana tempat.

Pulau Socotra di Kepulauan Socotra terkenal dengan tumbuhan seperti pohon darah naga yang berbentuk seperti payung terbalik dan pokok timun yang tinggi.

Lebih menakjubkan, satu kajian oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap flora dan fauna di pulau itu, saintis menemui 700 spesies endemik yang tidak pernah ditemui di mana-mana tempat di seluruh dunia.


SEBUAH bukit dipenuhi dengan pokok darah naga yang berbentuk seperti payung terbalik. FOTO Agensi

Sebagai contoh, 37 peratus daripada 825 spesies tumbuhan dan 90 peratus daripada spesies reptilia ditemui adalah unik yang hanya terdapat di pulau itu.

Saintis juga menemui 192 jenis burung, 253 jenis batu karang dan lebih 1,000 spesies hidupan marin tinggal di perairan pulau itu.

Antara haiwan luar biasa yang menarik perhatian saintis termasuk labah-labah tarantula biru dan sumpah-sumpah ganjil.

Pulau itu juga mempunyai pemandangan luar biasa kawasan pantai, tebing batu, gua dan Gunung Hajhir yang luar biasa.


PEMANDANGAN kawasan gunung yang menakjubkan. FOTO Agensi

Tidak hairanlah Kepulauan Socotra yang mempunyai empat pulau dan dua pulau berbatu diiktiraf sebagai Lokasi Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Socotra dianggap sebagai pembentukan tanah paling terpinggir di dunia dan dipercayai kepulauan itu sebahagian daripada benua besar Gondwana tetapi terpisah kira-kira 20 juta tahun dahulu.

Walaupun mempunyai pemandangan luar biasa, pulau itu tidak boleh dilawati buat masa ini.

Socotra secara sejarah diperintah secara politik oleh Yaman dan negara itu kini terjerumus dalam kancah perang saudara.


PULAU Socotra juga terkenal dengan pantainya yang cantik. FOTO Agensi

Socotra berada kira-kira 350 kilometer dari pantai tenggara Yaman tidak terbabit dalam konflik berkenaan tetapi pada April 2018, ia menjadi lokasi ketegangan politik antara negara itu dengan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

UAE menempatkan askarnya di Socotra tetapi pegawai Yaman membantah dengan mendakwa negara itu tidak meminta kebenaran untuk menghantar tenteranya ke pulau berkenaan.


POKOK timun yang hanya boleh ditemui

Bagaimanapun, kedua-dua negara memeterai satu perjanjian untuk membolehkan tentera Arab Saudi menggantikan askar UAE di pulau berkenaan dan menjalani latihan ketenteraan dengan askar Yaman.

Banyak negara juga mengeluarkan nasihat perjalanan yang melarang warganya melawat Yaman dan pulau di negara itu kerana situasi keselamatan di negara itu yang tidak stabil.


SEEKOR ikan paus melompat keluar dari laut yang dirakam

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 11:03 AM