KEINDAHAN laut biru di Keserwan.
Agensi

LUBNAN sering dikaitkan dengan kematian dan kemusnahan. Bagaimanapun, satu siri imej menakjubkan menunjukkan sisi negara Asia Barat itu yang sangat berbeza apabila ia dihiasi lata air terjun, hutan indah, pantai memukau bahkan resort ski epik.

Ia turut memiliki beberapa bandar, kampung dan tapak terkenal di negara itu.

Imej luar biasa itu dirakam jurugambar Lubnan, Rami Rizk tahun lalu ketika dia mengembara ke seluruh tanah airnya, lapor MailOnline Travel.

“Saya selalu dicetuskan rasa ingin tahu mengenai tempat yang baru dikenali. Beberapa tahun kebelakangan ini, saya bersiar-siar dalam negara dan ini membuatkan ingin memperkenalkan permata tersembunyi yang tidak diketahui ramai.

“Saya merakam pelbagai keindahan, bukan setakat sebagai hobi tetapi kerana ingin memperkenalkan mercu tanda tersembunyi kepada penduduk tempatan dengan impian mencapai dunia,” kata Rami.

Imej yang dirakam mewakili kisah negaranya yang bersejarah termasuk perang saudara dan letusan keganasan berterusan.


MASJID Mohammed Al Amine yang terkenal, juga dikenali sebagai Masjid Biru, di pusat bandar Beirut yang pernah satu ketika dulu dikenali sebagai Paris Asia Barat.

Sejak 1975 hingga 1990, Lubnan berperang selepas berlaku konflik antara Kristian dan ikatan Pertubuhan Pembebasan Muslim-Palestin (PLO). Dianggarkan kira-kira 120,000 orang terbunuh dalam perang yang berlanjutan selama 15 tahun dan hampir sejuta orang melarikan diri dari negara itu.

Pelancong mula membanjiri selepas Lubnan terbina semula, tetapi pada 2010, perang di negara jiran, Syria memberi kesan ke atas jumlah pelawat dan ia dilaporkan berkurangan 38 peratus.

Susulan itu, gambar berkenaan dimuat naik Rami ke Facebook dan Instagram dalam misi untuk mengubah persepsi orang ramai terhadap negaranya.

“Fakta mengenai negara Asia Barat menguatkan lagi salah tanggapan terhadap Lubnan sebagai padang pasir.


ORANG ramai bersantai dan menikmati minuman di Club Zaarour yang lazimnya menjadi resort ski ketika musim sejuk.

“Media massa banyak menggambarkan Lubnan sebagai negara perang dan malapetaka, sekali gus menutup kecantikan sebenar negara ini.

“Oleh itu, saya membuat keputusan melaksanakan misi bagi membuktikan hal itu salah kepada orang asing dan masyarakat Lubnan yang melarikan diri dari negara ini,” katanya.

Menurutnya, tempat paling digemarinya adalah Jezzine iaitu kampung halaman dan tempat dia dilahir serta dibesarkan.


TASIK buatan manusia bertujuan menadah hujan yang kemudian digunakan untuk mengairkan tanaman ketika musim panas di Falougha.

BOT tersusun di kawasan Marina di pusat bandar Beirut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 1:01 PM