BILIK khas yang menyediakan kemudahan melepaskan geram.
Reuters

PELANGGAN Smash, Qiu Siyu berjaya memecahkan radio kereta lama dengan hanya beberapa pukulan kayu besbol disusuli dua rakan yang ‘membelasah’ telefon lama, pembesar suara, periuk nasi malah juga patung bersaiz manusia.

Dengan bayaran 158 yuan (RM96) mereka bertiga menghabiskan setengah jam dalam ‘bilik marah’ di Beijing, untuk pelanggan melepaskan amarah terhadap objek seharian diiringi muzik pilihan masing-masing.

Pelanggan dibekalkan peralatan perlindungan termasuk pakaian dan cermin mata keselamatan khas dengan peluang memecahkan apa saja barangan tersedia untuk melepaskan geram.

Qiu, pelajar sekolah menengah berusia 16 tahun, memberitahu Reuters dia datang untuk melepaskan garam mengenai sekolahnya.

“Puasnya hati apabila merosakkan botol ini. Terasa satu kepuasan apabila melihat semuanya meletup,” katanya tersenyum.


SEORANG pelanggan wanita memecahkan kepala patung menggunakan kayu besbol.

Sejak dibuka pada September lalu, pelanggan dianggar memecahkan 15,000 botol sebulan, kata pengasas bersama Smash, Jin Meng, 25.

Dia menafikan ia bertujuan mempromosikan keganasan, sebaliknya Smash dilihat sebagai satu cara membantu orang ramai menangani tekanan hidup di kota besar seperti Beijing.

Menurutnya, pelanggan mereka lazimnya berusia antara 20 hingga 35 tahun dengan kira-kira 600 pelanggan datang setiap bulan.

Sementara itu, seorang lagi pelanggan, Liu Chao, 32, yang baru selesai sesi lepas geram nampak gembira dan relaks.

“Jika ada wang, anda boleh memecahkan apa saja. Televisyen, komputer atau botol arak. Apa saja. Cuma orang saja tidak boleh dipecahkan,” katanya berseloroh.


DUA rakan bersama-sama memecahkan botol.

Lokasi seperti itu juga beroperasi di negara lain termasuk Amerika Syarikat.

“Pelanggan yang tidak dapat saya lupakan adalah seorang wanita yang membawa semua gambar perkahwinannya untuk dirosakkan. Kami memang mengalu-alukan jika pelanggan mahu membawa barangan sendiri.

“Setiap kali menemui pelanggan seperti itu, ia membuktikan kami menyediakan tempat selamat untuk orang ramai melepaskan tenaga negatif dalam diri mereka. Itu menggembirakan kami,” katanya.

Jin berkata, dia merancang membuka bilik melepaskan geram di dalam pusat beli-belah supaya pengunjung boleh berehat seketika daripada membuat pembelian untuk memecahkan botol atau barangan lain.


SEJAK lokasi itu dibuka pada September tahun lalu, kira-kira 15,000 botol dianggarkan dipecahkan pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 12:13 PM