PENUTUPAN sekolah Arab di Xinjiang membimbangkan penganut Islam di wilayah lain.
Agensi

PENUTUPAN sebuah sekolah Arab di Wilayah Gansu, barat laut China menimbulkan kebimbangan dasar kejam yang mengekang agama di wilayah autonomi Uighur di Xinjiang mungkin diperluaskan ke kawasan penduduk Islam lain.

South China Morning Post melaporkan, Sekolah Arab Pingliang yang dibina khusus untuk pelajar miskin itu diarah tutup oleh pihak berkuasa menyebabkan kira-kira 200 pelajar dan 20 guru terpaksa dihantar pulang.

Pingliang bandar kecil yang juga kawasan paling miskin China berada di sempadan wilayah Gansu dan Shaanxi.

Menurut pihak berkuasa, sekolah itu tidak mempunyai permit kebenaran untuk beroperasi biarpun sudah dibuka sejak 1984.

“Nampaknya, pihak berkuasa tidak berminat untuk berbincang dengan kami. Semua pelajar di sini daripada latar belakang keluarga miskin.

“Menerusi latihan bahasa Arab, bekas pelajar kami boleh bekerja sebagai penterjemah pedagang Asia Barat yang datang berniaga di wilayah seperti Guangdong. Penutupan ini boleh menyebabkan murid keciciran pelajaran,” kata seorang guru.


PENGANUT Islam Uighur dikawal ketat pihak berkuasa.

Guru sekolah itu berusaha menghentikan tindakan pihak berkuasa dengan mendapatkan 1,000 tandatangan petisyen yang dihantar kepada biro pendidikan.

Penutupan sekolah Arab menunjukkan Beijing cuba meningkatkan kawalan ke atas wilayah didiami umat Islam oleh Presiden Xi Jinping sejak tiga tahun lalu dan mahu penduduk itu menerima nilai sosialis serta tradisional China.

Tindakan itu menimbulkan kerisauan bahawa pihak berkuasa cuba menghapuskan pengaruh Islam dan Kristian serta khuatir pengembangan ajaran itu akan mengancam pengaruh Parti Komunis.

Umat Islam di China hanya merangkumi kurang dua peratus daripada keseluruhan penduduk iaitu 22 juta orang.

Terdapat 10 kumpulan etnik Islam di sana manakala etnik Hui paling besar yang majoritinya berasal daripada populasi Han dan sebahagian besar menetap di wilayah Autonomi Ningxia Hui, Gansu, wilayah Qinghai serta Yunnan.

Berbanding etnik Uighur, penganut Islam daripada etnik Hui masih mempunyai kebebasan untuk mengamalkan ajaran Islam.

Namun, Uighur di Xinjiang menjalani kehidupan seharian dalam keadaan dikawal aketat dan diperhatikan termasuk kenalan dan pelawat dari luar negara.


DUA wantia yang berjalan di tempat awam sambil diperhatikan anggota tentera.

Baru-baru ini, panel hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan terdapat lebih satu juta etnik Uighur dan penganut Islam dari etnik lain berada di kem tahanan wilayah itu.

Bagaimanapun, pihak berkuasa di wilayah lain yang mempunyai penganut Islam menjadikan Xinjiang sebagai model contoh.

Setiausaha parti di Ningxia, Xhang Yunsheng yang dipetik media tempatan berkata, wilayah itu sepatutnya belajar daripada Xinjiang sebagai model dalam mengekang aktiviti keganasan dan pelampau agama.

“Kita perlu mengambil contoh daripada amalan dan langkah baik dilaksanakana di Xinjiang,” katanya selepas melawat wilayah jiran itu.

Lawatan wakil South China Morning Post ke Ningxia pada April lalu mendapati imej Islam dan papan tanda tulisan Arab sudah diturunkan di seluruh bandar serta daerah.


KEHIDUPAN seharian etnik Uighur dikawal ketat oleh tentera.

Beberapa masjid diarah menghentikan kelas bahasa Arab kepada orang ramai manakala beberapa sekolah Arab persendirian diarah tutup.

Seorang guru bahasa Arab etnik Hui berkata, penghapusan terhadap nilai Islam itu semakin meningkat.

“Sudah tidak banyak papan tanda jalan, nama produk dan menu makanan di restoran dalam bahasa Arab. Ada juga produk makanan yang dibuang perkataan halal,” katanya.

Pada Ogos tahun lalu, cadangan pihak berkuasa Ningxia untuk merobohkan Masjid Besar Weizhou di Tongxin terpaksa dihentikan selepas ratusan penganut Islam Hui melakukan bantahan.

Seorang penduduk, An Ran mengutuk tindakan pihak berkuasa China yang melaksanakan langkah kawalan ekstrem ke atas Xinjiang sama seperti di wilayah lain.

“Pelaksanaan langkah sama seperti Xinjiang kepada wilayah lain akan menjadikannya sebagai satu malapetaka lebih besar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 5:00 AM