SEMASA di sekolah, Sibahle hanya minat pelajaran Matematik.
Agensi

SEKALI imbas pelajar sekolah rendah gred 4 yang baru berusia 10 tahun ini kelihatan seperti kanak-kanak lain tetapi Sibahle Zwane seorang genius matematik dan mampu menyelesaikan kiraan dalam tempoh beberapa saat sahaja.

Dengan kemampuan luar biasa mengira nombor dalam jumlah yang besar, Sibahle merayau di kejiranan Lehae di Lenasia, Afrika Selatan untuk mendapatkan sedikit wang daripada orang ramai.

Ibunya, Mbali Zwane, 28, berkata, dia terkejut apabila melihat video anaknya menggunakan kemahiran matematiknya untuk mendapatkan wang tular di Facebook.

“Saya tidak percaya dia lakukan perkara itu. Seorang lelaki meminta kebenaran saya sebelum memuat naik video itu di Facebook.

“Sibahle pergi ke taman dan bertanya orang ramai adakah mereka mahir matematik? Dia pun berkata, ‘tanya saya’.

“Apabila mereka memberi nombor besar sama ada tambah, tolak atau darab, Sibahle dengan cepat menjawabnya dengan betul,” katanya.

Untuk setiap jawapan yang betul genius muda ini menerima bayaran R2 (60 sen).


SIBAHLE bersama ibunya, Mabali.

“Sibahle pernah pulang ke rumah dengan membawa duit berjumlah R100 (RM29.60) dan R200 (RM59.20) yang kemudian diberi kepada datuknya untuk disimpan,” jelasnya.

Ibu tunggal kepada dua anak dan tidak bekerja itu memberitahu, dia mula menyedari kebolehan luar biasa Sibahle ketika kanak-kanak berkenaan bersekolah di gred 2.

“Guru memberitahu saya Sibahle mempunyai kebolehan unik dengan nombor. Sekiranya berkemampuan, saya akan menghantar Sibahle ke tempat yang boleh mengasah bakatnya itu.

“Saya sudah memohon biasiswa dan berharap ada sesuatu positif berlaku,” katanya.

Sibahle berkata, di dalam kelas dia tidak berminat dengan subjek lain tetapi menjadi teruja dengan nombor.

Dia juga tidak dapat menjelaskan bagaimana dapat membuat kiraan itu dengan hanya menggunakan otaknya.

“Saya hanya nampak nombor di fikiran. Saya suka nombor lebih daripada benda lain,” katanya yang bercita-cita menjadi juruterbang satu hari nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 4:00 AM