SEORANG remaja, Iryna, 10, masih mengalami trauma dan mimpi ngeri selepas rumahnya dibedil dalam pertempuran beberapa tahun lalu.
RIBUAN orang melalui pos kawalan antara kawasan dikawal kerajaan dan penentang. Mereka perlu berjalan tiga atau empat jam kerana jambatan yang menghubungkan kawasan berkenaan rosak dan tidak boleh dilalui kenderaan.
Agensi

Pertempuran di Ukraine timur memasuki tahun kelima pada 2019 dalam konflik yang meragut lebih 3,000 nyawa awam, mengakibatkan 1.5 juta yang lain kehilangan tempat tinggal manakala 3.5 juta penduduk iaitu, 30 peratus daripadanya berusia lebih 60 tahun kini dalam kemiskinan.

Walaupun begitu ramai orang awam terjejas, krisis itu seolah-olah tidak mendapat perhatian dengan pelan kemanusiaan hanya menerima 38 peratus bantuan diperlukan tahun lalu, lapor Al Jazeera.

Pihak terbabit dengan konflik juga berterusan tidak mengendahkan perjanjian gencatan senjata.


RUMAH keluarga ini mengalami pelbagai kerosakan akibat tembakan.

Tembakan, pertempuran sengit, periuk api dan bom yang tidak diletupkan menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian penduduk yang sekadar mahu meneruskan kehidupan mereka.

Krisis berterusan itu tetap merosakkan infrastruktur awam termasuk kemudahan air dan kebersihan, seterusnya menambah cabaran seharian yang seperti tiada pengakhiran.


WANG 300 hingga 400 hryvnia (RM45-RM60) hanya dapat membeli roti, minyak masak, kentang dan bijirin setiap minggu.

Setiap bulan, lebih sejuta orang awam menggadai nyawa melintasi ‘garisan hubungan’ sepanjang 420 kilometer yang memisahkan kawasan dikawal kerajaan dan penentangnya, semata-mata mahu mengambil pencen, menerima dokumen pengenalan diri, mendapatkan perkhidmatan kesihatan dan membeli barangan keperluan, selain menemui keluarga yang terpisah atau menjenguk harta benda yang terpaksa ditinggalkan di seberang sempadan.


PENDUDUK yang tinggal di kawasan penentang perlu hadir sendiri setiap bulan untuk menerima pencen.

Orang ramai termasuk mereka yang tua dan uzur terpaksa menunggu berjam-jam dalam cuaca sejuk atau terik sebelum dibenarkan melalui pelbagai pos kawalan di kawasan itu.

Ekonomi yang merudum, bercampur dengan tekanan, ketakutan dan kehilangan harta serta orang tersayang mengakibatkan ramai penduduk kini berdepan masalah kesihatan mental. Warga emas dibiarkan menjaga diri dan harta tanpa sebarang bantuan.


SEORANG penduduk menjengah ke luar tingkap rumahnya yang rosak akibat pertempuran.

Orang awam terus membayar harga akibat konflik yang berterusan. Walaupun tahun baharu sudah bermula, mereka tetap terkesan akibat krisis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 5:01 AM