KEADAAN laluan terowong yang malap.
Agensi

Di sebalik rimbunan tebal pokok oak, wujud satu tempat persembunyian rahsia yang gagal dikesan tentera Israel selepas sembilan tahun ia digunakan.

Terletak di sebuah kaki bukit di selatan Lubnan, ia hanya diterangi cahaya malap di sepanjang laluannya hingga ke bilik kecil yang mempunyai udara sejuk dan lembap.

Independent melaporkan, ia dilengkapi sebuah dapur, bilik tidur dengan tilam selain bilik solat serta pusat operasi yang menjadi tempat untuk memberikan arahan.

Ia adalah gambaran keadaan sebenar terowong yang dibina pejuang Hizbullah itu.

Baru-baru ini, tentera Israel melancarkan operasi memusnahkan terowong seumpama itu yang merentasi sempadan Lubnan hingga Israel.

Namun, terowong di Mleeta itu gagal dikesan mereka yang digunakan pejuang Hizbullah untuk melancarkan serangan terhadap Israel.


KEADAAN pintu masuk terowong Hizbullah.

Pembinaan terowong itu dikatakan bermula pada 1989 iaitu tujuh tahun selepas Israel menawan selatan Lubnan.

Terowong yang dibina kira-kira 1,000 orang itu mengambil masa lebih tiga tahun untuk disiapkan dan ia menjadi markas penting Hizbullah supaya pergerakan tidak dapat dikesan dron serta jet.

Ia kini menjadi bahan pameran selepas dijadikan sebagai kompleks muzium interaktif, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai menelusuri sejarah perjuangan mereka.

“Israel tidak tahu mengenai terowong ini sehinggalah ia dibuka kepada orang ramai pada 2010.

“Kewujudannya dirahsiakan sepanjang masa,” kata jurucakap muzium, Ahmed Mansour.


SENJATA raifal turut dipamerkan kepada orang ramai.

Apabila Israel berundur dari Lubnan, Hizbullah segera membuat persediaan untuk peperangan seterusnya dengan membina ratusan lagi terowong sama di seluruh kawasan selatan.

“Terdapat perbezaan besar dari segi kekuatan kedua-dua pihak. Terowong ini nampak ringkas, tetapi sangat berkesan,” kata seorang jurupandu pelancong di Mleeta yang enggan dikenali.

Menurut penulis buku ‘Warriors of God: Inside Hezbollah’s Thirty-Year Struggle Against Israel’, Nicholas Blanford, terowong itu digunakan dalam perang antara Hizbullah dan Israel pada 2006 yang menyebabkan lebih 1,000 rakyat Lubnan serta 44 rakyat Israel terbunuh.

“Antara 2000 dan 2006, Hizbullah membina insfrastruktur yang terperinci dan menyeluruh di sempadan selatan Lubnan terdiri daripada kubu serta rangkaian terowong,” katanya.


TENTERA Israel melakukan kerja menggali di sempadan Lubnan-Israel selepas melancarkan operasi memusnahkan dan menggagalkan terowong Hizbullah.

Rangkaian terowong itu mungkin boleh digunakan untuk memberi kesan lebih bahaya dalam peperangan lain yang menjadi topik paling relevan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Sejak beberapa tahun lalu, permusuhan antara Hizbullah dan Israel berlarutan ke perang Syria dan selepas konflik itu reda, Lubnan sekali lagi menjadi tumpuan bagi kedua-duanya.

Israel pula mulanya bimbang apabila pejuang Hizbullah dilihat lebih kuat dalam perang Syria itu.

Pemimpin kumpulan itu, Hassan Nasrallah mendakwa, membina peluru berpandu jarak jauh yang lebih tepat dan kewujudan terowong merentasi sempadan akan memperluaskan lagi ancaman Hizbullah.

Sekiranya digunakan sepenuhnya, kumpulan itu berupaya menghantar pejuang menyerang bandar dan kampung di Israel.


LALUAN dalam terowong di muzium.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 4:30 AM