SEORANG wanita menjalani rawatan bibir di sebuah klinik kecantikan di Mosul.
AFP

Selama tiga tahun, wanita di bandar Mosul, Iraq diwajibkan menutup kepala hingga ke buku lali, manakala lelaki pula tidak dibenarkan memotong janggut.

Salun kecantikan di bandar itu juga ditutup manakala pembedahan plastik dianggap jenayah berat.

Bagaimanapun, selepas setahun kumpulan militan Daish diusir, bandar itu kini bertukar lebih ceria.

Mahu membuang parut atau kesan terbakar? Membuat implan rambut yang botak atau memutihkan gigi? Semua perkhidmatan itu kini ditawarkan doktor bedah plastik di Mozul.

Seorang penduduk, Raji Najib baru saja menggunakan perkhidmatan terbaru berkenaan.

Lelaki berusia 40 tahun itu sebelum ini kurang keyakinan diri kerana rambutnya semakin botak dan kini dia mendapatkan implan rambut di sebuah klinik yang baru dibuka.


LELAKI juga antara pelanggan klinik kesihatan.

“Mereka memberitahu mereka menggunakan peralatan moden, petugasnya mahir dan harganya murah,” kata Raji.

Di Mosul, purata membuat implan rambut adalah kira-kira AS$800 (RM3,320) termasuk rawatan susulan.

Di bandar Arbil, kira-kira 90 kilometer ke timur atau di Turki, rawatan yang sama berharga kira-kira AS$1,200 (RM4,980).

“Pergi ke klinik di Mosul lebih senang kerana saya tidak perlu pergi jauh untuk mendapatkan rawatan ini,” katanya.

Kira-kira sedekad lalu, satu jabatan di hospital di Mosul menawarkan perkhidmatan pembedahan plastik tetapi ia hanya untuk pesakit yang mengalami kemalangan teruk atau cacat ketika dilahirkan.


KLINIK kecantikan di Mosul menggunakan peralatan moden.

Mosul dan bandar lain di Iraq dilanda perang sejak tentera pakatan diketuai Amerika Syarikat (AS) menceroboh negara itu pada 2003 untuk menumbangkan Presiden Saddam Hussein.

Kumpulan pelampau yang berkuasa selepas itu mengarahkan wanita menutup seluruh tubuh mereka dan tinggal di rumah. Banyak salun atau butik kecantikan ditutup kerana bimbang menjadi sasaran pengganas.

Apabila kumpulan Daish menawan keseluruhan Iraq pada 2014, mereka menjadikan Mosul sebagai ibu kota mereka.

Kumpulan itu mengenakan undang-undang ketat terhadap penduduk. Wanita perlu menutup kesluruhan badan mereka manakala lelaki tidak dibenarkan memotong janggut.


SEORANG wanita mendandan rambut di sebuah salun.

Sejak Mosul ditawan kembali tentera Iraq pada musim lalu, lima klinik kecantikan dibuka semula dan premis itu dibanjiri ramai pelanggan.

Muhammad Kazem, 40, adalah yang pertama membuka perniagaan kecantikannya yang menawarkan perkhidmatan memutihkan gigi dan rawatan pergigian lain.

“Rahsia saya? Mengambil pekerja dari Lubnan dan peralatan pula diimport dari luar negara,” katanya.

Perkhidmatan kesihatan paling teruk terjejas sepanjang pemerintahan Daish selama tiga tahun dan perang selama beberapa bulan untuk menawan semula Mosul.


SEORANG petugas menyusun produk kecantikan yang dijual di kedainya.

Katil hospital yang disediakan di Mosul menurun dari 3,657 sebelum 2014 kepada hanya 1,622 pada tahun lalu, menurut suruhanjaya hak asasi manusia Iraq.

Bagaimanapun, bandar itu bangun semula. Sebuah pusat komersial menempatkan sebuah klinik pergigian dan pusat kecantikan.

Satu poster di pintu masuk menunjukkan pusat kecantikan itu menawarkan suntikan botox, pembedahan membuang lemak dan pelbagai perkhidmatan lain.

Di dalam klinik berkenaan, ramai pelanggan terdiri daripada wanita dan juga lelaki.

Seorang petugas, Alia Adnan mencucuk serum pada kepala seorang wanita yang mengalami masalah rambut botak.

“Pemerintahan Daish sebelum ini memberi kesan kepada mental dan fizikal penduduk Mosul.

“Mereka mengalami masalah rambut dan kulit akibat tekanan perasaan serta pencemaran udara akibat penggunaan bahan letupan,” katanya.


SEBUAH klinik kesihatan di Mosul yang menawarkan perkhidmatan pembedahan plastik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 5:00 AM