ANTARA pemandangan dianggap terindah oleh FrÈdÈric.
Agensi

SEORANG jurugambar menghabiskan 17 tahun mengembara sekitar Mongolia merakamkan kehidupan seharian penduduknya dengan hasil yang begitu menakjubkan.

Frederic Lagrange, pertama kali datang ke negara itu pada 2001 selepas terpengaruh dengan kisah mengagumkan datuknya yang diselamatkan askar Mongolia apabila menjadi tawanan ketika perang Jerman, dengan ratusan gambar dalam koleksinya kini dimuatkan dalam buku dengan tajuk ringkas ‘Mongolia.’

“Dia diselamatkan kumpulan askar Mongolia yang berjuang di bawah Soviet pada lewat 1944. Saya masih terngiang-ngiang bagaimana dia yang ketika itu berjuang untuk Perancis menceritakan pengalaman diselamatkan bersama askar Britain serta Amerika Syarikat oleh kumpulan ‘lelaki gergasi’ dari negara yang begitu asing.

“Sejak itu, Mongolia begitu dekat di hati saya. Mereka menyelamatkan datuk, jika tidak mungkin saya juga tidak wujud,” katanya.

Katanya, ketika lawatan pertamanya pada 2001, dia menghabiskan sebulan di barat Mongolia, namun selepas pulang ke New York City baru menyedari betapa sedikitnya keindahan berjaya dirakamkan.

Susulan itu, dia memutuskan untuk pergi semula ke Mongolia beberapa kali untuk benar-benar mengalami keindahannya selain mengambil gambar bagi membuktikannya.

Hasilnya, himpunan gambar portret dan pemandangan unik yang menunjukkan kehidupan seharian di Mongolia.

“Potret yang saya ambil mungkin nampak mudah diambil, tetapi sebenarnya jauh lebih mendalam dan bermakna kerana ramai subjek gambar saya tidak pernah melihat kamera.

“Jadi tiada lakonan langsung, apa yang saya rakamkan adalah diri mereka sepenuhnya tanpa penyelindungan.

“Orang Mongol amat mesra. Landskap negara mereka begitu luas dan terpencil menyebabkan penduduknya perlu saling membantu untuk terus hidup terutama ketika musim sejuk.

“Kemesraan dan kemurahan hati itu bukan hanya sesama mereka, malah sesiapa saja yang datang ke situ,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 7:00 AM