BARANGAN antik yang dipamerkan di dalam rumah Esmat di Al-Qanawat. FOTO EPA
Agensi

ESMAT Zain al-Deen mengolah rumah penginapan tetamu menjadi muzium kecil untuk menghimpunkan barangan antik yang dianggapnya menceritakan sejarah nenek moyangnya di Sweida, selatan Syria.

Pistol dan senapang lama, duit, setem, dokumen, diari dan perkakasan digunakan penghuni zaman kuno Sweida dipamerkan di muzium kecil itu.

Penginapan tetamu itu terasing dari kediaman utama serta dikhususkan untuk tetamunya, sesuatu yang menjadi budaya penduduk Sweida dan sering dilihat di situ.

Namun bagi Esmat ia kini menjadi muzium kecil yang merealisasikan impiannya dan kini menjadi kebanggaan.

Dia mengolah rumah kecil itu menjadi muzium empat bulan lalu selepas berjaya menemui kira-kira 2,500 barangan antik sejak lapan tahun lalu. Ada antara barangan antik paling lama ditemuinya adalah dari pertengahan kurun lalu.

Disebabkan cintakan warisan nenek moyang, pedagang itu berkata, koleksinya bermula dengan peralatan digunakan petani zaman dahulu kala selain senapang lama.

“Sejak lapan tahun lalu saya semakin berminat mengumpul barangan antik dan apa saja yang menggambarkan warisan serta sejarah kami. Semuanya ditemui di sekitar Sweida,” katanya.

Menurutnya, dia mahu melakukan sesuatu untuk memastikan generasi baru tidak lupakan sejarah mereka.

Esmat yang berusia 40-an memberitahu agensi berita Xinhua, dia memang berminat mengumpul barangan lama sejak dulu, namun semakin mendalam susulan pelbagai penemuannya.

Katanya, ada barangan yang dibelinya daripada orang lain, namun dia menegaskan cuma bertindak sebagai penjaga barangan antik berkenaan kerana undang-undang Syria melarang jual beli barangan seumpama itu.

“Saya tidak memiliki semua ini. Ia milik generasi akan datang. Saya berharap anak lelaki saya turut menyimpan dan menjaganya kelak,” katanya.

Hobinya itu turut mendapat sokongan penduduk bandar itu malah ada yang turut menyumbangkan barangan lama keluarga mereka untuk disimpan di situ.

“Ramai yang datang melawat akhirnya turut membawa barangan kediaman mereka yang diwarisi sejak beberapa generasi untuk turut dipamerkan di sini.

“Mereka memang peminat nombor satu saya,” katanya.

Katanya, dia mengimpikan dapat mengumpul koleksi lebih besar selain mewujudkan ruang untuk mempamerkannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 6:30 AM