ADEL membentukkan tanah liat untuk dijadikan tempayan.
AFP

Adel al-Kawwaz memutarkan mesin lempat alin, membentuk tanah liat yang basah menjadi kendi. Keluarganya terkenal menghasilkan tembikar yang juga kraf tangan diamalkan di Iraq sejak ribuan tahun lalu.

Selama ribuan tahun, peralatan tanah liat digunakan untuk menyimpan makanan dan memasak digunakan di setiap kediaman di Sumer, tamadun terawal paling terkenal di selatan Iraq.

Nama keluarga Adel juga diambil sempena kendi atau ‘kawz’ dalam bahasa Arab, yang dihasilkan mereka sejak lebih 200 tahun lalu menggunakan tanah liat diambil di tasik berhampiran Najaf yang juga bandar suci bagi pengikut Syiah.

“Menghasilkan barangan tembikar memang kemahiran keluarga kami,” kata tukang tembikar berusia 45 tahun itu.

Seni tembikar mempunyai sejarah lama di Iraq, apabila tamadun awal menggunakan tanah liat untuk membina kediaman, membuat perkakasan memasak malah ketuhar mereka juga dibuat menggunakan bahan itu.

Tulisan pepaku, antara bentuk tulisan terawal dicipta orang Sumeria juga diukir ke atas papan diperbuat daripada tanah liat.

Ia amat berguna di negara sepanas Iraq. Semua bekas dihasilkan keluarga Adel dikeringkan selepas dibentuk dan kemudian dibakar untuk sekurang-kurangnya 15 jam.

Namun kini dengan lambakan produk moden, permintaan untuk barangan diperbuat daripada tanah liat semakin berkurangan, kata Adel.

“Semua bekas dihasilkan kami digunakan untuk menyimpan air atau makanan dan disimpan di tempat redup atau digantung di tempat tinggi. Malah ada juga yang menggunakan untuk menyimpan barang kemas.

“Dulu pembuat barangan tembikar pasti kaya kerana ia barangan seharian yang pasti ada di setiap kediaman,” katanya.

Malah, ketika era pemerintahan Saddam Hussein dan pada 1990-an apabila pelbagai sekatan dikenakan terhadap Iraq, ia kembali popular kerana lebih mudah diperoleh dan murah berbanding bahan lain.

“Kebanyakan orang tidak mampu membeli peti sejuk untuk menyejukkan air, jadi semuanya disimpan dalam bekas tembikar,” katanya.

Menurutnya, ketika itu keluarganya mampu menjual beribu-ribu barangan tembikar seminggu di seluruh Iraq.

Namun kini jauh berbeza.

“Sekarang sukar untuk membuat jualan. Setahun pun belum tentu mampu menjual 100 atau 200 kendi,” katanya.

Petani yang satu ketika dulu menggunakan bekas tembikar besar kini mempunyai pilihan lebih murah dihasilkan di tempat lain termasuk luar negara.


TEMPAYAN popular sebagai tempat menyimpan air atau makanan, malah ada yang menyimpan barang kemas.

“Beg plastik diimport dari China lebih murah, jadi kami semakin sukar menjual bekas tembikar,” katanya.

Susulan itu, dia cuma membuat barangan berdasarkan tempahan, namun mengaku ia tidak begitu berbaloi.

Jag kecil cuma bernilai 2,500 dinar iaitu sekitar RM9, manakala periuk lebih besar yang mampu mengisi beberapa liter air dijual dengan harga 15,000 dinar (RM52).

Namun bagi segelintir orang, barangan tembikar tetap digunakan kerana dianggap yang terbaik.

Um Haydar, 60, berkata, dia masih menggunakan ketuhar tanah liatnya untuk membakar roti setiap pagi.

“Rasanya tidak sama dengan roti dibakar menggunakan ketuhar elektrik atau gas. Roti dibakar secara tradisional jauh lebih lazat,” katanya.

Haydar al-Kaabi yang juga tukang tembikar yakin budaya penggunaan tembikar tidak akan luput.

“Sekalipun tukang tembikar semakin berkurangan, masih ada yang akan mengamalkannya. Kami akan memastikan warisan nenek moyang terus diamalkan.

“Lagipun, masih ada orang Iraq yang mahu menikmati roti lazat,” katanya sambil mengenyit mata.


BARANGAN tembikar amat penting bagi negara sepanas Iraq.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 5:00 AM