SEORANG lelaki berbaring di dalam bilik di penjara berkenaan.
Reuters

PENJARA adalah tempat untuk mengurung pesalah daripada dunia luar tetapi sebuah penjara di Korea Selatan ini menjadi tumpuan bagi mereka yang mahu mencari kebebasan daripada dunia luar.

Dikenali sebagai “Penjara Di Dalam Diri Saya” kemudahan itu ditempah oleh mereka yang mahu melarikan diri daripada ‘dipenjara’ di dunia kehidupan yang sibuk.

Penjara itu mengenakan bayaran £70 (RM376) kepada sesiapa yang mahu mengurung diri mereka di dalam bilik sempit selama 24 jam.


SEORANG pelanggan berjalan untuk masuk

Sejak dibuka pada 2013, kemudahan di Hongcheon sudah menerima lebih 2,000 pekerja dan pelajar yang tertekan secara emosi dengan kehidupan mereka.

Korea Selatan memang terkenal dengan budaya kerja dan pendidikan yang mendesak sekali gus memberi tekanan kepada masyarakatnya.

Di sebalik dinding penjara itu, sebarang komunikasi dilarang sama sekali termasuk telefon bimbit, televisyen, jam dan juga cermin.

Keadaan itu membolehkan penghuninya berehat dan melarikan diri daripada kehidupan harian mereka yang sibuk serta memenatkan.

Di dalam bilik penjara itu, penghuninya hanya diberi sebuah diari, tikar yoga dan satu butang panik sekiranya berlaku kecemasan.

Mereka juga boleh menyertai aktiviti spiritual berkumpulan jika mahu.

Penghuni juga perlu memakai pakaian seperti banduan dan makanan dihidangkan melalui lubang kecil di pintu bilik yang berkunci.

Satu kajian oleh Organisasi untuk Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan mendapati, penduduk Korea Selatan bekerja secara purata 2,000 jam pada 2017 sekali gus menjadi negara paling terlebih kerja di Asia.

Kadar bunuh diri di negara itu juga antara tertinggi di dunia, lebih dua kali ganda berbanding Amerika Syarikat.

“Ironinya, saya berasakan penjara ini memberikan rasa kebebasan,” kata seorang pelanggan, Park Hye-Ri, 28.

Pengasas penjara itu, Noh Ji-Hyang berkata, dia mendapat inspirasi untuk menubuhkan kemudahan berkenaan selepas melihat suaminya yang terlalu banyak bekerja.

Katanya, suaminya seorang pendakwa raya dan sering mengalami tekanan kerana bekerja 100 jam seminggu.

“Pada mulanya orang berkata mereka akan terkurung apabila berada di dalam bilik penjara.

“Bagaimanapun, selepas tinggal di sini, pandangan mereka berubah dan berkata, ini bukan penjara dan penjara sebenar adalah tempat yang mereka akan kembali selepas ini,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 6:16 AM