PADA waktu malam, cuaca lebih sejuk, iaitu hampir -30 Celsius ketika musim sejuk.
Agensi

PEKAN di bahagian paling utara Amerika Syarikat (AS), Utqiagvik di Alaska, kini bergelap 65 hari selepas malam kutub bermula, minggu lalu.

Utqiagvik mengalami sinaran suria selama hanya 64 minit pada 18 November lalu, apabila terbit pada jam 12.40 tengah hari sebelum terbenam semula pada jam 1.44 tengah hari (waktu tempatan). Susulan itu, pekan berkenaan tidak lagi akan melihat matahari sehingga jam 1.04 petang pada 23 Januari depan.

Pakar kaji cuaca CNN, Judson Jones berkata, malam kutub lazim merujuk kepada lokasi yang matahari tidak terbit selama lebih 24 jam.

"Ia berlaku setiap tahun. Jika anda tinggal di atas Garisan Artik, memang akan ada hari apabila matahari terbenam sepanjang musim luruh. Namun, berita baiknya adalah ia akan kembali sebaliknya berlaku pada musim panas apabila tidak terbenam selama berhari-hari," katanya.

Utqiagvik bukan satu-satunya lokasi mengalami fenomena ini di Alaska, malah ia turut dialami di negara lain seperti Norway. Bagaimanapun, ia yang pertama mengalaminya di Alaska kerana lokasinya yang paling utara di AS.

Pekan dengan 4,000 penduduk itu terletak 51 kilometer di atas Garisan Artik sebelum ini dikenali sebagai Barrow dan pernah menjadi lokasi filem seram 30 Days of Night yang menunjukkan kawasan itu dikuasai puntianak ketika malam kutub.

Susulan itu, ada penduduk ‘meraikan’ senja terakhir mereka untuk beberapa bulan akan datang dengan berpesta termasuk menonton filem berkenaan.

Menurut penduduk, walaupun cuaca mendung menyebabkan waktu senja tidak secantik diharapkan, mereka tetap bersemangat meraikan fenomena itu.

Penduduk, Kirsten Alburg memuat naik gambarnya bersama rakan di Instagram dengan keterangan: “Bersama rakan baik, makanan enak dan ketawa menonton filem Hollywood yang menunjukkan pekan kami ini dikuasai puntianak pada Malam Kutub.”

Malam Kutub bermula di Kutub Utara ketika Ekuinoks Musim Luruh dan merebak ke selatan ke Garisan Artik sehingga bermulanya Solstis Musim Sejuk apabila ia bergerak semula ke utara.

Suhu di Utqiagvik amat sejuk ketika malam kutub, iaitu kira-kira -20 hingga -23 Celsius ketika musim sejuk. Pada waktu malam, cuaca lebih sejuk, iaitu hampir -30 Celsius ketika musim sejuk.

Walaupun mengalami malam kutub, ini tidak bermakna Utqiagvik akan gelap sepenuhnya. Ia masih mengalami senja guruh yang memberikan sedikit pencahayaan indah selama tiga hingga enam jam sehari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 6:31 AM