PENJARA di sebuah balai polis di San Salvador menempatkan anggota kumpulan MS-13 yang ditahan.
Agensi

EL SALVADOR di Amerika Tengah dianggap rantau paling mena­kutkan dengan keganasan dan pembunuhan sudah menjadi sesuatu yang lumrah di negara itu.

Hampir semua orang, daripada pekerja biasa hingga pemilik kedai runcit menjadi mangsa peras ugut kumpulan kongsi gelap.

Bukan itu saja, kumpulan kongsi gelap turut mengawal ekonomi dengan menentukan produk apa yang boleh dijual seperti lampin pakai buang. Mereka juga mengancam membakar ladang sekiranya pemiliknya enggan membayar wang perlindungan.

Keadaan itu menyebabkan kehidupan penduduk di El Salvador seperti tebusan.

El Salvador adalah teras keganasan di Amerika Latin apabila satu pertiga pembunuhan di dunia berlaku di kawasan itu.

Pertempuran di jalanan antara kumpulan kongsi gelap sering berlaku dan ia bukan berpunca daripada persaingan perniagaan dadah seperti kebanyakan kumpulan penjenayah lain.

Kini kumpulan kongsi gelap di negara itu meraih kekayaan dengan memeras ugut penduduk di kawasan kejiranan mereka sendiri.

Pegawai antidadah memberitahu, kumpulan kongsi gelap di negara itu memperoleh kira-kira AS$20 juta (RM84 juta) setahun dengan memeras ugut penduduk.

Dianggarkan AS$3 juta (RM12.6 juta) diperoleh daripada ibu kota, San Salvador.

“Hari ini, keadaan paling ganas di Amerika Latin adalah kesan daripada sistem baru yang lebih pelbagai, sukar untuk dikawal dan lebih bersifat tempatan.

“Kita meninggalkan era raja dadah dan ketua kongsi gelap di sana,” kata perunding keselamatan Alejandro Hope kepada akhbar The Wall Street Journal.

Faktor itu menyebabkan penduduk di El Salvador melarikan diri.

Amerika Syarikat (AS) kini mengerah 5,200 askar tambahan untuk membantu mengawal sempadan negara itu dengan Mexico bagi menghalang rombongan ribuan pendatang dari El Salvador yang dikenali sebagai ‘caravan’.

Pegawai percaya, satu kumpulan kongsi gelap dikenali sebagai MS-13 terbabit dalam rangkaian peras ugut di 248 daripada 262 bandar di El Salvador dan bersaing untuk menguasai kawasan kejiranan dengan satu lagi kumpulan dikenali sebagai Barrio 18.

MS-13 memperoleh kira-kira AS$600,000 (RM2.51 juta) sebulan hasil peras ugut daripada peniaga tempatan.

Tidak banyak yang boleh dilakukan pihak berkuasa yang langsung tiada kawalan di negara itu.

Apabila ahli politik menganjurkan perhimpunan atau lawatan ke sesuatu kawasan, mereka akan meminta kebenaran kumpulan kongsi gelap yang menguasai lokasi itu.

Pertempuran antara dua kumpulan kongsi gelap itu sebelum ini membunuh lebih 100 orang dalam tempoh lima hari.

Keganasan itu menjadikan El Salvador sebagai negara yang mempunyai kadar pembunuhan paling tinggi di dunia.

Kadar kes bunuh di San Salvador adalah 95.7 kes daripada 100,000 orang menjadikan ia bandar keenam paling bahaya

di dunia.

Dalam tempoh 10 tahun lalu, anggota MS-13 berkembang kepada beberapa ribu orang merangkumi sekurang-kurangnya 40 negeri dan daerah Colombia.

Kumpulan itu diasaskan pada 1980-an di Los Angeles oleh pelarian El Salvador yang melarikan diri daripada perang saudara di negara mereka.

Dikelilingi kumpulan samseng di negara baru, mereka membentuk kumpulan sendiri dikenali sebagai Mara Salvatrucha untuk perlindungan.

Mereka kemudian menjalin perikatan dengan mafia Mexico untuk perlindungan di dalam penjara di California.

Sejak itu mereka menjadi MS-13, dengan huruf M dan angka 13 sebagai tanda penghormatan kepada rakan baru kumpulan itu.

Apabila pihak berkuasa AS menghalau pendatang pada 1980-an, anggota MS-13 balik ke El Salvador apabila mereka mula menguasai negara mereka sendiri dan pengaruhnya mula berkembang.

Seorang ahli perniagaan terkenal El Salvador, Javier Siman berkata, kerugian paling besar akibat aktiviti kongsi gelap di negara itu adalah sumber manusia.

Siman dianggap sebagai antara ahli perniagaan paling berjaya di El Salvador dengan memiliki empayar tekstil dan rangkaian pasar raya.

“Kami kehilangan individu terbaik yang kami ada.

“Mereka sama ada melarikan diri ke negara lain, dibunuh atau terpaksa sentiasa berpindah-randah.

“Mereka perlu membayar kepada samseng ini hanya untuk masuk ke kawasan tempat mereka tinggal atau bekerja,” katanya.

Penduduk juga perlu sentiasa peka mengenai kumpulan mana yang menguasai kawasan tempat mereka berada kerana silap langkah nyawa mungkin melayang atau mungkin menjadi mangsa serangan atau rompakan.

Penduduk juga takut menyebut nama sesuatu kumpulan kongsi gelap itu.

Keadaan itu me­nyebabkan mereka cuba berhijrah ke utara menuju ke AS kerana terlalu takut tinggal di negara sendiri.

Kanak-kanak pula mempunyai masa depan yang suram. Mereka terpaksa memilih sama ada bekerja dan berdepan dengan peras ugut atau menjadi anggota kumpulan kongsi gelap.

Ada kanak-kanak direkrut menjadi anggota sesuatu kumpulan semuda usia 10 tahun.

Pelarian ini menaiki tiga bas menempuh perjalanan selama tiga jam untuk mengelak melalui kawasan yang dikuasai kumpulan kongsi gelap ini.

Seorang lelaki, Rene Del Cid berkata, bas yang dinaikinya ditahan oleh anggota MS-13 yang bersenjata sebelum ditarik keluar dan dikurung dalam sebuah rumah selama tiga minggu bagi menuntut wang tebusan.

“Di mana-mana pergi, saya tetap menjadi sasaran. Sekiranya menyertai kumpulan kongsi gelap, saya mungkin dibunuh oleh mereka atau polis,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 6:16 AM