AFP

BERIBU-ribu pelombong menyerbu dan menggali kawasan berhampiran sungai di Nathenje, Malawi untuk mencari emas dengan harapan mampu mengubah kehidupan mereka yang miskin.

“Di sini, di sini!,” jerit seorang lelaki apabila melihat satu kilauan seperti emas dan puluhan lagi pelombong yang teruja mengerumuni kawasan terletak kira-kira 20 kilometer dari selatan Lilongwe, ibu kota Malawi.

Kegilaan mencari emas di sungai itu bermula kira-kira empat bulan lalu dan ia tidak menunjukkan tanda akan tamat.

Seorang pegawai tempatan memberitahu, peniaga dari negara jiran membayar hingga AS$34 (RM142) untuk segram emas.


SEORANG wanita memeriksa tanah untuk mencari kesan emas. - AFP

Kerja keras dan melombong ketika panas terik, namun ramai yang berakhir dengan kekecewaan.

Pelombong yang kebanyakannya wanita menggunakan peralatan tangan menggali lubang yang dalam di tebing sungai Nathenje.

Mereka kemudian menggunakan bakul untuk membawa tanah yang digali ke tempat penapisan bagi mencari tanda kehadiran emas.

Seorang pelombong, Tandizeni Natani kurang mengenali apa itu emas ketika dia bersama penduduk kampungnya meninggalkan kawasan tanaman untuk menyertai ribuan yang lain mencari logam berharga itu.

“Apa yang saya tahu ia logam yang berharga,” kata ibu kepada lima anak itu.

“Pada hari pertama saya berjaya memperoleh pendapatan 25,000 kwacha (RM143) dan setakat ini mengumpul kira-kira 100,000 kwacha (RM575). Kini saya boleh membeli peralatan sekolah untuk anak saya,” jelasnya.


PENDUDUK menggali tanah berhampiran tebing sungai yang menjadi lombong. - AFP

Seorang lagi penduduk, Fatima Chikalipo berkata, dia membeli satu plot tanah berukuran lima meter lebar dan 10 meter panjang berharga AS$7 (RM29).

Namun, setakat ini nasibnya bercampur-campur.

“Pada hari-hari terawal, nasib saya baik tetapi kini kadangkala kami menggali sepanjang hari dan tidak menemui apa-apa. Saya belum mendapat sebarang keuntungan lagi.

“Harga emas juga mula turun. Sebelum ini kami menjual 25,000 kwacha (RM143) untuk segram emas. Kini pembeli hanya menawarkan 20,000 kwacha (RM115),” katanya.

Dengan hanya menggunakan cangkul dan penyodok, penduduk kampung di Lumwira dan Dzondi mula menyertai ribuan lagi pelombong dari seluruh negara untuk memburu emas.


SEORANG pembeli emas membayar kepada pelombong. - AFP

Satu sistem majikan dan pekerja yang tidak rasmi mula wujud bersama khemah plastik yang menawarkan tempat tinggal asas kepada pelombong.

“Banyak kerja yang perlu dilakukan,” kata seorang pelombong, Misheck Chilayison yang membeli satu plot tanah dengan harga AS$55 (RM230).

“Kami mengupah wanita untuk menggali dan membayar pemandu lori bagi membawa tanah dari tebing sungai ke tempat penapisan di mana tanah dibasuh untuk mendapatkan emas,” katanya.

Chilayison berkata, kegilaan mencari emas itu bermula dengan khabar angin yang tersebar mengenai seorang lelaki India yang datang ke Nathenje bersama kajian geologi dan mula melombong.

“Tidak lama kemudian, lelaki itu melarikan diri selepas diburu polis kerana dia tidak mempunyai permit kerja. Namun, beberapa pekerja membawa rakan mereka untuk meneruskan kerja berkenaan,” katanya.

Seorang ketua kampung, Katondo memberitahu, penemuan emas di kawasan itu adalah satu rahmat.

“Ia satu kelegaan besar bagi kami. Hasil tanaman pada tahun ini sangat teruk dan sebab itu kami mengerumuni kawasan tebing sungai berkenaan.

“Kami mungkin berdepan risiko kebuluran tetapi kini penduduk boleh mendapatkan wang dan membeli jagung untuk makanan keluarga mereka,” jelasnya.

Bagaimanapun, pelombongan haram adalah bahaya dan kerajaan mahu menguatkuasakan undang-undang terhadap industri itu untuk menjana pendapatan negara.

“Kerajaan kini dalam proses untuk melesenkan aktiviti perlombongan,” kata pengarah pelombongan Malawi, Jalf Salima.

Katanya, lesen akan diperkenalkan dan pelombong haram akan dihalau.


SEORANG pelombong menggali lubang untuk mencari emas. - AFP

Salima berkata, kualiti emas di Nathenje dan lima lagi lokasi pelombongan di Malawi belum diketahui kerana kajian perlu dilakukan terlebih dahulu.

Pengerusi Kerjasama Pelombongan Nyasa, Percy Maleta menggesa kerajaan menghentikan aktiviti pelombongan haram dan merangka strategi jangka panjang untuk mengeksploitasi sumber itu dengan jayanya.

“Kami melobi kerajaan untuk melatih pelombong tempatan supaya mereka boleh menubuhkan syarikat atau kelab pelombong. Ini membolehkan mereka mendapat peralatan yang lebih baik dan menjual emas di pasaran yang sah.

“Pembeli menyeludup keluar emas dari negara ini menggunakan jalan haram dan negara kehilangan banyak hasil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 8:16 AM